Ahad, 23 Disember 2018 | 9:00am

Ibu bapa belanja hangus beli keperluan sekolah

KUALA LUMPUR: Ibu bapa membelanjakan antara RM200 hingga RM600 setiap seorang anak bagi menyediakan pelbagai kelengkapan sekolah termasuk keperluan kelas agama bermula sesi persekolahan 2019.

Tinjauan BH, mendapati rata-rata ibu bapa terpaksa berbelanja hangus dalam keadaan kesempitan ekonomi dan sara hidup meningkat, lantas mereka perlu membuat pilihan bijak membeli pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah mengikut bajet disediakan.

Ibu bapa perlu merancang perbelanjaan secara sistematik terutama yang mempunyai anak ramai supaya dapat memenuhi keperluan kerana banyak jenama barangan sekolah di pasaran dengan menawarkan harga berbeza dan ada serendah bawah RM10.

Tinjauan di sekitar ibu kota, melihat tiada banyak beza dari segi harga untuk kelengkapan sekolah pada tahun ini berbanding tahun lalu dan ibu bapa berpuas hati kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada 1 September lalu tidak membebankan mereka kerana tiada kenaikan harga bagi barang persekolahan.

Ejen syarikat insurans, Liyana Kasmady, berkata keputusan untuk membeli kelengkapan sekolah bergantung kepada perancangan teliti ibu bapa kerana terlalu banyak jenama di pasaran ada yang berharga mahal, sederhana dan murah.


Ibu bapa membeli barangan kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Asyraf Hamzah

Katanya, jika mahukan barangan yang lebih berkualiti, pasti harganya jauh lebih mahal, selain sesetengah jenama membuat potongan harga runtuh dan jualan gudang sempena Kempen Kembali Ke Sekolah.

“Sama perlu berbelanja besar atau sebaliknya terpulang kepada keputusan ibu bapa menentukan bajet masing-masing. Saya lebih memikirkan kemajuan akademik anak berbanding baju berjenama.

“Tahun ini adalah pengalaman pertama saya menguruskan kelengkapan sekolah anak Tahun Satu. Saya pastikan pergi ke beberapa lokasi untuk melihat harga dan kualiti baju sebelum membuat keputusan untuk membeli,” katanya.

Liyana membelanjakan sekitar RM250 membeli kelengkapan anak untuk sesi persekolahan 2019, dan menyediakan gaji bulan lalu untuk membeli semua kos perbelanjaan pakaian sekolah, beg dan kasut .

“Saya juga perlu menyimpan RM200 disimpan untuk membeli buku sekolah dan menyasarkan perbelanjaan keseluruhannya menjangkau sehingga RM500 hingga RM600,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat mungkin kos meningkat disebabkan ibu bapa memilih pakaian sekolah berjenama, tidak membuat kaji selidik pakaian harga berbaloi, jumlah tanggungan anak bersekolah ramai mahupun hanya suami bekerja menyara keluarga.

Rancang perbelanjaan berperingkat

Suri rumah, Wan Nor Zaniah Wan Ismail, membelanjakan lebih RM2,000 untuk empat anak yang masih bersekolah.

Katanya, walaupun setiap anak hanya mendapat dua helai baju sekolah agama dan kebangsaan, sebagai ibu beliau berpuas hati kerana dapat membeli kelengkapan baharu untuk mereka.


Suri rumah, Wan Nor Zaniah Wan Ismail. - NSTP/Asyraf Hamzah

“Saya akui rasa terbeban setiap kali membeli pakaian baru anak yang dianggap satu kemestian setiap tahun. Pakaian lama mereka selalunya tidak digunakan disebabkan saiz badan anak sudah berbeza dan keadaan baju sudah lusuh.

“Saya anak ramai dan hanya suami menanggung keluarga. Jadi saya kena rancang perbelanjaan secara berperingkat. Biasanya, saya belikan anak sekolah menengah dulu, kemudian untuk anak sekolah rendah.

“Dari segi psikologi, cara itu tak terasa sangat keluarkan wang yang banyak pada satu-satu masa,” katanya yang membeli pakaian sekolah anak dua kali setahun.

Tidak memilih pakaian berjenama tetapi memastikan ia perlu berkualiti, Wan Nor Zaniah, berkata pengguna sebenarnya perlu bijak dalam mengatur perbelanjaan keluarga terutama untuk perbelanjaan persekolahan.

“Ada baju harga lebih RM50 sepasang dan ada yang cuma RM9.90 sehelai. Terpulang kepada kita membuat keputusan tepat,” katanya.


Sa'edah Daud (kiri) mencuba pakaian sekolah pada anaknya, Muhammad Darwish (kanan) sambil diperhati suami, Muhammad Rahimini Abd Manaf ketika tinjauan persiapan kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pilihan di tangan pengguna

Bagi Penolong Pengurus Pusat Pakaian Hari Hari, Cawangan Jalan Tun Razak, berkata beliau melihat aliran pembelian kelengkapan sekolah tahun ini lebih kepada barangan murah tetapi yang berkualiti.

Katanya, pilihan di tangan pengguna dan mereka perlu bijak membuat keputusan bagi mengelak rasa bebanan dalam satu masa apabila perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak.

Ada pembeli sejak Oktober lagi sudah beli baju sekolah secara berperingkat terutama yang ada anak ramai.

“Saya sudah bekerja di pusat beli-belah ini sejak lapan tahun lalu dan melihat saban tahun, ibu bapa tetap membeli baju baru anak, walaupun hanya sepasang baju atau kasut baru,” katanya.

Beliau berkata, di kedainya menyediakan pelbagai jenama dengan harga berbeza, iaitu dari harga rendah hingga sederhana.

“Bukan di kedai ini saja, banyak kedai pesaing di lokasi lain menawarkan harga terendah. Sehelai baju bermula dari RM9.90 sehingga RM32.90 mengikut saiz.

“Untuk tahun ini, harga ada penurunan sedikit berbanding tahun lalu mungkin disebabkan sudah tiada GST,” katanya.

Ibu bapa perlu merancang perbelanjaan persekolahan secara sistematik. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X