Sabtu, 22 Disember 2018 | 11:15am
Nurliyana (kanan) melakukan latihan CPR ketika program Family First Aid kendalian Hospital Pakar Ampang Puteri.

Bahaya anak telan mainan

OBJEK kecil komponen permainan antara barangan berbahaya kepada anak kecil kerana berisiko tertelan hingga boleh meragut nyawa.

Barangan itu mudah dikutip anak berusia satu hingga lima tahun termasuk wang siling yang dibiarkan bersepah di lantai.

Anak kecil sering tertarik dengan objek berkenaan dan memasukkannya dalam mulut.

Ini disebabkan dalam usia sebegini, perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, mula merangkak dan sifat ingin tahu yang tinggi.

Lebih mengejutkan, ada kes kanak-kanak tercekik makanan yang dianggap tidak bahaya seperti bebola ikan.

Pakar kardiologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Ika Faizura Mohd Nor, berkata apabila kanak-kanak tersedak atau tercekik ini bermakna ada objek atau makanan terperangkap di bahagian laluan pernafasan atau trakea.

Katanya, ibu bapa dan pengasuh perlu peka jika anak menunjukkan reaksi seperti sukar bercakap,

menangis, muka kebiru-biruan, kelihatan panik atau tidak sedarkan diri.

“Keadaan itu, mungkin disebabkan berlakunya gangguan dalam aliran udara ke paru-paru lantas menyebabkan kanak-kanak tadi tidak boleh bernafas dengan lancar,” katanya ditemui pada Program ‘Family First Aid”, di ibu kota, baru-baru ini .

Program dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Munirah Khudri, jururawat, ibu bapa dan kumpulan guru prasekolah sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, kaedah bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) juga berupaya dilakukan sebagai bantuan asas kecemasan kepada mangsa yang tidak sedarkan diri, selain gagal menunjukkan tindak balas apabila dipanggil atau digerakkan.

“CPR kombinasi bantuan pernafasan dan menekan dada memberi nafas kepada mangsa bagi membolehkan darah mangsa dan oksigen masih dibekalkan ke seluruh tubuh terutama bahagian otak,” katanya.

Berhadapan saat cemas ini, ada beberapa perkara boleh dilakukan sebagai bantuan awal sementara menunggu bantuan selanjutnya.

Apabila anak tidak bertindak balas tepuk kuat di kedua bahu, panggil anak, periksa pernafasan dengan melihat dada sama ada pernafasan lancar atau sebaliknya.

“Jika hela pernafasan sekejap panjang dan pendek, ini tidak baik, anda boleh memeriksa nadi di bahagian leher manakala bayi bawah usia setahun pula, periksa di bahagian lengan,”

Beliau berkata, jika ibu bapa atau penjaga sudah pasti masih tidak pernafasan dan nadi, dapatkan bantuan segera di hospital berhampiran.

Bagi kanak-kanak di bawah usia setahun, selain bantuan pernafasan mulut ke mulut, anda boleh menghembus di bahagian hidung bayi sebagai bantuan asas memandangkan mulut bayi masih kecil berbanding rongga mulut orang dewasa.

Sementara itu, Penyelaras Latihan Sokongan Hidup Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Asmah Md Kasah, berkata situasi cemas itu boleh ditangani dengan memeriksa nadi dan pernafasan, jika masih boleh bernafas bernafas, bermakna laluan pernafasan mereka masih ada.

Berhadapan kes tercekik pula, beliau berkata, tidak galakkan ibu bapa keluarkan objek atau makanan tersekat kerana khuatir akan menolaknya ke dalam, jika tidak yakin jangan lakukan.

“Langkah terbaik beri perhatian ketika kanak-kanak itu batuk sehingga dia kembali bernafas seperti biasa. Jika kanak-kanak sedar tetapi tidak boleh bernafas atau bercakap selain muka kelihatan biru gunakan teknik menekan perut. Ini boleh dilakukan sesiapa yang sudah dilatih melakukan teknik ini,” katanya.

Katanya, bagi kanak-kanak yang tidak sedar dan gagal bernafas pula, teruskan dengan teknik CPR jika anda atau sesiapa sudah dilatih sebelum bantuan selanjutnya.

Ibu bapa dinasihat menyimpan nombor kecemasan termasuk nombor hospital terdekat, keluarga terdekat serta jiran.

Guru swasta, Nurliyana Razali, berkata ilmu yang diperoleh sepanjang program berlangsung dapat dimanfaatkan kepada kanak-kanak di bawah bimbingannya.

Ini memandangkan jika anak tercekik objek bukan sahaja berlaku di rumah tetapi di sekolah terutama Tadika.

“Belajar CPR supaya dapat dimanfaatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Saya pernah mengalami saat cemas apabila mengendalikan kes anak tertelan mainan Lego. Nasib baik boleh dikeluarkan sendiri.

“Ibu bapa dan guru perlu memberi lebih prihatin sebagai langkah berwaspada kerana kealpaan kita menyebabkan anak boleh kehilangan nyawa,” katanya.


Asmah melakukan demonstrasi CPR.

Tanda anak tercekik:

* Mangsa tercekik tidak dapat menjawab pertanyaan.

* Anda berpendapat tiada udara mengalir keluar dan masuk ke dalam salur pernafasannya (mangsa tidak bernafas)

* Mangsa hilang keupayaan untuk batuk dengan kuat.

Bantuan awal

* Bagi mangsa yang terbaring di atas lantai:

* Letakkan mangsa dalam keadaan telentang di atas permukaan rata dan keras

* Duduk melutut dengan mangsa berada di tengah-tengah

* Letakkan pangkal sebelah tangan anda di tengah abdomen mangsa (di bawah tulang dada) dengan tangan sebelah lagi menekan di atasnya

* Lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa dengan membongkok sedikit ke hadapan.

Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri:

* Periksa laluan udaranya (salur pernafasan).

* Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.

* Jika anda dapat melihat sesuatu, masukkan jari di sisi tekak dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar objek yang tersekat.

* Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda tersekat, berikan dua hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut

* Jika dada mangsa tidak bergerak, hembusan nafas yang anda tidak berhasil dan perlu bertindak segera. * Bawa mangsa ke klinik berhampiran untuk rawatan kecemasan.

Berita Harian X