Khamis, 6 Disember 2018 | 9:53pm
SIKAP enggan berterus terang dan sukar berbincang memburukkan lagi keadaan. - Foto hiasan

Fahami konsep hidup berkeluarga

KUALA LUMPUR: Keengganan memeluk suami dari belakang bagi mengelak digigit nyamuk, sedangkan pada masa sama isteri terpaksa memujuk anak kecil kurang setahun menangis tidak dapat tidur antara punca suami melepaskan cerai talak tiga.

Alasan remeh antara yang berlaku dalam pasangan hari ini sedangkan perkara berkenaan boleh diselesaikan dengan baik jika masing-masing memahami konsep kehidupan berkeluarga.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata perkara remeh lain pernah beliau kendalikan berpunca cara memicit ubat gigi berbeza antara pasangan.

Kebanyakan kes yang dikendalikan kata beliau, pasangan bermasalah jarang mendapat sokongan ahli keluarga sejak awal membina perkahwinan.

“Lantaran mereka mengambil cabaran hidup berumah tangga sebagai masalah peribadi untuk ditangani sendirian.

“Pada masa sama, ahli keluarga lebih suka masalah wujud ditamatkan dengan perceraian, tetapi tidak memberi sokongan moral selepas pasangan bercerai.

“Jika nekad bercerai, pasangan dinasihatkan mempunyai ilmu sebagai sokongan untuk mereka meneruskan hidup,” katanya.

Suzana berkata, perceraian bukan jalan penyelesaian terbaik bagi pasangan kerap bertengkar, selain menjadikan alasan kecil sebagai punca mahu berpisah.

“Pasangan sepatutnya mendalami ilmu kekeluargaan, selain mengenali pasangan secukupnya sebelum mengambil keputusan berkahwin bagi memastikan ikatan kukuh sepanjang melayari keluarga.

Kahwin usia muda

“Kini, ramai memulakan alam perkahwinan pada usia muda, sedangkan mereka belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga.

“Mereka kurang peka memilih tanpa mengambil kira latar belakang pasangan. Jangan jadikan pertengkaran kecil untuk melafaz-kan cerai. Belajar kenal pasti punca pertengkaran dan selesaikan secara bijak.

“Perbezaan pendapat bukan bermaksud tidak sesuai bersama, sebaliknya cuba mencipta bahagia jika disesuaikan dengan usaha, termasuk komunikasi berkesan antara pasangan itu sendiri,” katanya.

Suzana berkata, hikmah perkahwinan adalah untuk suami isteri merasai ketenangan dan kebahagiaan hidup, sekiranya faktor itu hilang wujudlah sebab untuk bercerai.

“Sebelum memikirkan percerai-an, pasangan perlu berusaha mengubah keadaan menjadi lebih baik dan cuba berbincang mengenai ketidakpuasan hati masing-masing.


PERUNDING Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Enggan berterus terang

Kebanyakan pasangan, kata beliau, mengambil sikap enggan berterus terang dan sukar berbincang. Lebih ramai selesa dengan pendekatan mendiamkan diri dan berharap pasangan faham masalah mereka.

“Malah, ada yang lebih suka menyindir kerana beranggapan cara itu membuatkan pasangan mengerti. Dapatkan bantuan kaunselor kerana ramai pasangan tidak mampu mengatasi masalah bersama,” katanya.

Menyedari pentingnya usaha memantapkan pasangan dengan pengetahuan kekeluargaan, Suzana berkata, Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPPI) diperkenalkan.

Program menyeluruh ini diperkenalkan dalam kursus bertujuan membantu bakal pasangan mempersiapkan diri secara mental dan fizikal secukupnya sebelum memulakan hidup bersama.

“Selain kursus praperkahwinan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kami yakin Modul Kursus Pasca Perkahwinan pada Mac 2016 meningkatkan pengetahuan pasangan pentingnya bimbingan menyeluruh sebelum memulakan hidup bersama.

“Saya juga dilantik sebagai panel penggubal modul, selain mengendalikan ceramah dalam sesi kursus merangkumi empat fasa bagi disesuaikan dengan keperluan pasangan semasa.

“Modul tambahan diberikan menepati keperluan melengkapkan pasangan dengan pengetahuan dalam berhadapan situasi pengurusan keluarga yang lebih mencabar,” katanya.

Suzana berkata, setakat ini, kursus berkenaan hanya diwajibkan buat pasangan Islam yang ingin berkahwin dan belum ada dikendalikan untuk pasangan bukan Islam.

Info

Kesan negatif perceraian

• Sukar kembali percaya kepada lelaki atau perempuan

• Hubungan keluarga terjejas

• Kebajikan anak terabai sekiranya ibu atau ayah berkahwin baharu

• Kepercayaan anak kepada institusi perkahwinan berkurangan

• Kebahagiaan anak untuk tinggal bersama ibu atau ayah baharu terjejas

• Kesan negatif perceraian

• Sukar kembali percaya kepada lelaki atau perempuan

• Hubungan keluarga terjejas

• Kebajikan anak terabai sekiranya ibu atau ayah berkahwin baharu

• Kepercayaan anak kepada institusi perkahwinan berkurangan

• Kebahagiaan anak untuk tinggal bersama ibu atau ayah baharu terjejas

Berita Harian X