Isnin, 19 November 2018 | 12:38pm
MoTac menyokong setiap program yang berpotensi membuka peluang usahawan kraf tangan. - Foto hiasan

'Manfaat platform perluas jaringan produk kraf'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTac) menyokong setiap program yang berpotensi membuka peluang usahawan kraf tangan terutama dalam kalangan wanita dalam memperluaskan jaringan produk.

Golongan ini memerlukan sokongan berterusan bagi membolehkan mereka meneroka pasaran baharu menerusi promosi secara menyeluruh.

Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata produk kraf tangan tempatan dihasilkan usahawan wanita ini diperakui kemas, kreatif dan mempunyai nilai pasaran berdaya saing.


KETUA Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah. - NSTP/Rosela Ismail

Beliau berkata, mereka boleh menggunakan platform sedia ada termasuk persatuan peniaga khas untuk wanita yang diwujudkan sejak sekian lama.

Rangkaian sebegini, katanya memberi peluang usahawan memperkasakan jaringan perniagaan dengan peniaga sedia ada yang lebih berpengalaman untuk dimanfaatkan bersama.

“Pemerhatian mendapati, usahawan wanita gigih dalam meneroka perniagaan, bukan sekadar memenuhi permintaan tempatan, malah pasaran luar negara,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran platform perniagaan dalam talian, Tular Media, di sini, baru-baru ini.

Statistik mendapati jumlah usahawan kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencecah 5,465, sekali gus mengumpul nilai jualan RM251 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Program SDSI-Produk Kraf

Selain itu, Rashidi berkata, hampir 1,964 usahawan kraf dan 2,947 tenaga kerja turut menyertai program inisiatif membangunkan komuniti setempat menerusi bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI)-Produk Kraf.

Program dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) katanya, sebahagian daripada usaha menghasilkan material bersesuai-an kehendak pasaran semasa penting.

“Ini bagi membolehkan produk kraf tangan tempatan mendapat sambutan.

“Penghasilan produk seni dan kraf tangan perlu menampilkan ciri rekaan, unik, kreatif serta inovatif, selain mengekalkan keaslian rekaan kontemporari sejajar aliran semasa.

“Landasan pasaran yang kukuh membolehkan produk mendapat sambutan meluas menerusi kerjasama penggiat industri sama dari luar negara,” katanya

Rashidi berkata, pembabitan wanita dalam bidang perusahaan kecil tinggi, namun ramai berasal dari luar bandar yang memerlukan pendedahan pasaran secara khusus.

Menerusi program bimbingan juga, beliau berkata, agensi kerajaan dan organisasi berkaitan memberi bimbingan sama dengan tumpuan kepada kemahiran pemasaran, pameran, pembungkusan dan promosi berterusan.

Pada masa sama juga, Rashidi menambah, kesedaran mengenai penggunaan produk tempatan perlu dipertingkatkan, terutama dalam kalangan pengguna setempat.

“Semangat menghargai barangan tempatan perlu ada dalam hati semua kerana penghasilnya yang kreatif mempunyai nilai tambah, selain berkualiti.

“Teknik promosi menerusi kerjasama penganjur pameran memberikan kesan positif kepada industri kraf tempatan.

“Pilihan produk pelbagai sesuai dijadikan cenderamata kepada pengunjung dan pemberian itu menjadi sebahagian daripada promosi produk kraf negara kepada masyarakat luar.

“Barangan kraf yang sering mendapat sambutan termasuk beg tangan, beg bimbit, bakul, peralatan hiasan rumah dan bekas hadiah.

“Setiap produk cenderahati mengekalkan ciri tradisional tempatan, memenuhi kehendak semasa serta mengangkat seni warisan rakyat setempat,” katanya.

Berita Harian X