Sabtu, 17 November 2018 | 2:07pm
Salah seorang peserta menerima sijil daripada Dr Al-Azmi Bakar. - Foto NSTP

Tambah khidmat kaunselor profesional, tangani masalah sosial

Sungai Besi: Institut Sosial Malaysia (ISM) mengambil langkah proaktif melatih lebih ramai kaunselor bagi menampung jumlah kekurangan kaunselor profesional berdaftar bagi membantu menangani pelbagai isu sosial dalam kalangan masyarakat.

Kerajaan menyasarkan mempunyai kira-kira 11,000 kaunselor profesional, iaitu nisbah seorang kaunselor bagi 2,945 penduduk, menjelang 2020.

Pengamal kaunseling terlatih dan bertauliah adalah individu paling tepat dirujuk kerana mereka lebih berkemahiran dan mempunyai pendekatan tertentu menyelesaikan masalah.

Bagaimanapun, jumlah para kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada masa ini masih rendah dan ramai tidak mendapat akses kepada perkhidmatan itu sedangkan mereka memerlukan bantuan dan sokongan.

Pengarah ISM, Dr Al-Azmi Bakar, berkata pihaknya akan melatih seramai mungkin para kaunselor bagi melayakkan mereka sebagai barisan hadapan bagi perkhidmatan kaunseling.

“Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan sehingga Ogos lalu, seramai 8,039 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.

“Ini bermakna, pada masa ini, hanya seorang kaunselor bagi setiap 4,030 orang penduduk di negara ini.

“Nisbah ini masih terlalu besar bagi menangani masalah sosial yang semakin kompleks dengan berkesan. Kerajaan menyasarkan lebih ramai kaunselor profesional dan para kaunselor dilatih, pada masa depan,,” katanya pada majlis penyampaian sijil dan penutupan, Bengkel Para Kaunselor Tahap 1 dan 2, anjuran Kluster Kesukarelawanan & Keusahawanan Sosial (Kluster 3K), ISM, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 18 peserta berjaya menamatkan kursus sebagai para kaunselor iaitu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti usahawan, pesara, perbankan, perunding sumber manusia dan sebagainya.

Bagi membantu masyarakat, Al-Azmi berkata, penganjuran bengkel itu salah satu Petunjuk Prestasi Utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MKPI) bagi tahun ini. Kementerian menyasarkan kira-kira 120 peserta dalam kalangan pesara profesional dan Orang Kurang Upaya (OKU) dilatih sebagai para kaunselor.

Katanya, usaha ini juga bertujuan memperkasakan kedua-dua kumpulan ini bertujuan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan, terutamanya dari segi bantuan awal kaunseling dan sokongan emosi serta teman berbicara dan mendengar.

“Saya yakin, menerusi pendedahan dan kemahiran kaunseling asas dalam memahami prinsip dan etika kaunseling yang didedahkan kepada peserta, mereka bukan sahaja layak diiktiraf sebagai para kaunselor tetapi turut berpotensi sebagai barisan hadapan bagi perkhidmatan kaunseling kepada rakyat di negara ini.

“Isu sosial semakin berleluasa dalam masyarakat pada hari ini memerlukan pemerkasaan perkhidmatan kaunseling bagi membentuk masyarakat bersedia ke arah membentuk masyarakat sejahtera,” katanya.


Dr Al-Azmi Bakar (duduk berkot) bergambar bersama peserta Bengkel Para Kaunselor Tahap 1 dan 2 selepas penyampaian sijil. - Foto NSTP

Al-Azmi berharap, para kaunselor yang berjaya menamatkan bengkel berkenaan dapat menggunakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran sebaiknya, tanpa mengambil kira di mana dan pada bila-bila masa diperlukan.

ISM memperkenalkan bengkel para kaunselor sejak 2016. Tahun ini, seramai 131 mengikuti latihan sebagai para kaunselor. Kursus 18 jam. Sepanjang kursus setiap peserta diberikan pendedahan teori dan amali mengenai bidang kaunseling. Untuk melayakkan peserta diiktiraf sebagai para kaunselor, mereka perlu mengikuti 58 jam kredit pembelajaran kaunseling.

Antara pendedahan diberikan sepanjang kurus adalah kemahiran menolong, proses perhubungan menolong, latihan amali kaunseling individu dan kelompok, etika dan undang-undang serta bantuan psikologi.

Peserta bengkel, Jariah Sidik, 55, sanggup berkorban meninggalkan keluarga selama beberapa hari, semata-mata ingin menghadiri kursus itu.

“Saya menyertai kursus kaunselor ini atas kapasiti sebagai ahli jawatan kuasa Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia negeri Pahang di daerah Temerloh. Saya sememangnya berminat dalam bidang kaunselor. Sebelum ini, saya pernah mengambil jurusan diploma Psikologi Kanak-kanak bawah Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah,” katanya.

Memahami keupayaan diri Jariah berkata, kursus ini bagus dan memberi banyak manfaat kepada peserta, sekali gus membantu para kaunselor mengenali dan memahami keupayaan diri lebih mendalam, selain dapat membantu klien celik akal dan bersikap rasional dalam berdepan krisis dialami.

“Saya berharap, para kaunselor yang sudah mengikuti kursus dengan jaya akan terus mempraktikkan ilmu dipelajari berpandukan etika dan sentiasa memberi khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat kaunseling tanpa memilih latar belakang, agama, bangsa, peringkat umur, warna kulit serta budaya,” katanya.

Beliau menyarankan, ISM menyalurkan maklumat ke setiap daerah mengenai kewujudan para kaunselor diiktiraf supaya mana-mana agensi yang memerlukan khidmat atau bantuan kaunseling boleh menghubungi mereka.

Sukarelawan terlatih dan juga Usahawan, Aidayu Abdullah, 50, dari Bangi berkata, menerusi kursus para kaunselor diikuti, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk membantu golongan memerlukan bantuan kaunseling.

“Bengkel ini meningkatkan ilmu saya. Pembelajaran teori dan praktikal sepanjang bengkel membuatkan saya lebih menghargai diri sendiri dan memahami masalah orang lain.

“Saya melihat banyak isu semasa mencabar perlu ditangani masyarakat hari ini. Para kaunselor yang berpengetahuan dan berkemahiran sangat diperlukan untuk memberikan khidmat terbaik kaunseling dalam menangani masalah berkaitan,” katanya.

Suri rumah dari Putrajaya, Rozita Abdul Aziz, 47, berkata kursus membolehkan beliau menjadi sukarelawan terlatih dan berkemahiran tinggi.

“Saya berminat menceburi bidang ini untuk membantu khidmat nasihat dan bimbingan tetapi ada yang malu menyuarakan masalah. “Kaunselor ini penting di mata masyarakat kerana mereka boleh membantu mengenal pasti masalah seseorang dan menjadi pendengar yang baik. “Walaupun para kaunselor adalah kumpulan yang tidak mempunyai kelayakan profesional kaunseling ditetapkan tetapi dengan latihan dan pendedahan diberikan dalam bidang berkenaan, mereka berupaya membantu mereka bermasalah,” katanya.

223 dibaca
Berita Harian X