Isnin, 12 November 2018 | 11:09am
DR Siti Mariah Mahmud. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Syor perkenal silibus institusi kekeluargaan di sekolah

BANGI: Kerajaan disaran memperkenalkan silibus berkaitan institusi kekeluargaan di sekolah, sebagai pendedahan awal kepada pelajar bagi menempuh kehidupan lebih mencabar selepas tamat persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata menerusi silibus itu pelajar diberi pendedahan senario lebih mencabar membabitkan peranan, hak dan tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan.

Justeru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) disarankan bekerjasama menyediakan silibus berkenaan, bagi melahirkan generasi yang sejahtera.

Katanya, mungkin mata pelajaran itu boleh dimasukkan dalam pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai ilmu asas sebelum meneruskan pengajian, bekerja atau berumah tangga.

Kaedah itu dianggap sebagai pendedahan awal bagi memahami konflik dalam institusi kekeluargaan, seperti membabitkan kes keganasan rumah tangga dan perceraian.

“Di institusi pengajian tinggi juga tidak ada ilmu mengenai asas kekeluargaan dan rumah tangga, melainkan mereka memilih bidang undang-undang dan syariah.

“Jika tiada ilmu asas berkaitannya, mereka tidak tahu tanggungjawab, peranan dan hak masing-masing apabila mendirikan rumah tangga.

“Lantas mata pelajaran itu sesuai diadakan pada peringkat sekolah. Ia sebagai kesedaran awal sebelum mereka mula meneruskan kehidupan dan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri selepas tamat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah: Ketahui Hak Anda anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain.

Siti Mariah berkata, mungkin cadangan ini akan mengambil masa lama untuk diperincikan secara menyeluruh, sebelum dilaksanakan untuk memastikan ia mencapai objektifnya.

Pada masa sama, beliau berharap ibu bapa juga tidak mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan asas berkaitan perkara sama, supaya anak lebih memahami peranan dan mengambil sebarang tindakan sekiranya berhadapan dengan masalah keganasan dalam rumah tangga.

“Anak perempuan dan lelaki perlu dimaklumkan mengenai kehidupan harmoni, dengan cara menolak keganasan rumah tangga dan akan tahu cara mengawalnya dengan baik.

“Alam percintaan semuanya indah. Senario berbeza apabila berkahwin, jika tiada ilmu berkaitannya mereka mudah mengalah,” katanya.

Beliau berkata, saranan berkenaan bukan bertujuan menggalakkan anak berkahwin awal, sebaliknya mengetahui perkara asas berkaitan kehidupan selepas menamatkan tamat persekolahan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan, seminar itu sebagai inisiatif di bawah Pelan Strategik JAKESS 2015-2020, bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap perundangan syariah.

Katanya, masyarakat perlu mengubah persepsi melihat fungsi mahkamah, hanya menumpukan perhatian mengendalikan kes perbicaraan isu tertentu yang difailkan di mahkamah.

Menerusi seminar ini, mereka berpeluang memahami secara tepat mengenai hak, tanggungjawab dan perlindungan menerusi undang-undang syariah terutama membabitkan hal ehwal keluarga Islam.

“Saya berharap lebih banyak program sebegini dianjurkan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat, terhadap undang-undang syariah dan fungsi institusi kehakiman,” katanya.

158 dibaca
Berita Harian X