Jumaat, 9 November 2018 | 3:52pm
PELAKSANAAN penguatkuasaan keadilan syariah dapat membela nasib ibu tunggal. - Foto hiasan

Hadapi masalah emosi angkara isu nafkah selepas cerai

KUALA LUMPUR: Ramai ibu tunggal terpaksa menanggung beban emosi, selain perlu menyediakan keperluan menyara anak berikutan sikap lepas tangan bekas suami culas melunaskan nafkah selepas bercerai.

Ada ibu tunggal terpaksa menanggung nafkah anak seumur hidup, malah puluhan tahun akibat kedegilan, keegoan dan sikap tidak bertanggungjawab bekas suami.

Itulah antara situasi dilalui ibu tunggal, Nur Eiklah Tulha yang berhadapan dengan sikap bekas suami lepas tangan dan beliau terpaksa menyara sendiri dua anaknya yang berusia tiga dan empat tahun, selepas bercerai pada 2007.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Wanita Tunggal (WATIM), berkata, sepanjang bercerai semua kelengkapan menyediakan tempat tinggal, persekolahan dan sara hidup anak ditanggungnya seorang diri.


IBU tunggal, Nur Eiklah Tulha. - NSTP/Aziah Azmee

Katanya, beliau melakukan kerja sampingan untuk menyara anak untuk menambah pendapatan selain bekerja tetap sebagai perunding latihan di sebuah syarikat swasta.

Keluarga bantu ringan beban kewangan

Ketika itu mujurlah beliau mendapat sokongan daripada orang sekeliling khususnya keluarga dan rakan, selain ibu bapa turut membantu meringankan bebanan dari segi kewangan.

“Pada awalnya, bekas suami ada beri sedikit nafkah ketika dia bekerja. Itupun selepas saya minta, jika diam dia langsung tidak ambil kisah. Keadaan lebih parah selepas dia tidak bekerja dan langsung tidak beri nafkah.

“Bagi saya, apa pun keadaannya bekas suami tidak seharusnya culas memberi nafkah,” katanya mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf, mengenai pelaksanaan penguatkuasaan keadilan syariah termasuk mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang ‘culas’ memberi nafkah kepada bekas isteri.

Ini berikutan kebanyakan ibu tunggal terpaksa menanggung nafkah anak termasuk menyediakan tempat tinggal, persekolahan dan sara hidup anak seorang diri akibat sikap tidak bertanggungjawab lelaki.

Pandang remeh tanggungjawab

Berhubung perkara itu, Nur Eiklah berkata, sepatutnya bukan sahaja sekatan bank, beliau mencadangkan supaya melaksanakan potongan gaji secara berjadual dan halangan ke luar negara.

Bagi bekas suami yang menganggur mereka juga tidak harus lepas tangan, sebaliknya nafkah masih boleh dibayar menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

“Saya melihat tanggungjawab memberi nafkah anak sering dianggap remeh kebanyakan bekas suami dan mereka melepaskan beban itu kepada bekas isteri bagi menguruskan anak sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang sudah menjanda selama 10 tahun, berkata justeru hukuman lebih berat mungkin boleh dipertimbangkan seperti penjara atau sebat bagi memberi kesedaran terhadap tanggungjawab memberi nafkah.

“Ini memandangkan penguatkuasaan sedia ada tidak lagi memberi impak kepada bekas suami menyebabkan ibu tunggal terpaksa berhempas pulas menyara keperluan anak ditinggalkan.


KERATAN akhbar3 BH semalam.

“Isu ini harus dipandang serius kerana boleh menyebabkan keperluan pelajaran anak terabai dan merosakkan masa depan,” katanya.

Beliau berharap, penubuhan badan pelaksana bagi memantau dan menyelia pangkalan data dan maklumat kewangan suami yang masih terikat dengan nafkah anak.

“Bukan mudah jadi ibu tunggal. Apatah lagi semakin besar sampai ada yang bergolok gadai untuk besarkan anak,” katanya.

Ibu tunggal, Dayangku Khalizawati Awangku Serma, 34, pula berkata cadangan kerajaan itu juga dapat membendung masalah tekanan emosi dan bebanan kewangan ibu tunggal kerana menanggung nafkah anak bersendirian.

“Dalam situasi saya, bekas suami tak mahu memberi nafkah kepada anak atas alasan dia tak cukup duit.

“Alasan terlalu banyak komitmen seperti membayar sewa bulanan rumah dan hutang dia yang lain,” katanya.

Berikutan itu, beliau terpaksa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara anak berusia tujuh dan 15 tahun, walaupun tidak menerima nafkah bekas suami sejak bercerai pada 2016, beliau berusaha sendiri untuk menyara anak.

“Bekas suami mendakwa tak bayar kerana sudah membuat simpanan anak di Tabung Haji, tetapi apabila tak ada duit, dia guna juga wang itu,” katanya.

Fahami situasi bekas suami

Kakitangan kerajaan, Raja Nor Fazillah Raja Nor Kudin, 32, berkata perkahwinannya cuma bertahan sembilan tahun sebelum bercerai dan melihat cadangan itu boleh dilaksanakan jika kena pada tempatnya.

Ibu tunggal empat anak ini, berkata tindakan itu dilihat boleh dilaksanakan jika pendapatan bekas suami mampu menyara anak.

“Saya rasa sekatan itu tidak perlu bagi yang tidak mampu. Bagaimanapun bagi yang berkemampuan untuk memberi nafkah tetapi gagal berbuat demikian, tindakan sekatan itu wajar diambil.

“Bagi saya gunakan budi bicara kerana faham situasi bekas suami. Kalau paksa pun, memang dia tak mampu. Malah jika failkan saman sekalipun, belum tentu dia mampu membayarnya,” katanya.

482 dibaca
Berita Harian X