Jumaat, 2 November 2018 | 10:30am
TIMBALAN Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Normah Osman (tengah) bersama pemenang anugerah Penasihat, Pembangunan, Pembelajaran dan Pencapaian (ADLA). Foto - Rosela Ismail
KUALA LUMPUR 31 OCTOBER 2018. Deputy Secretary General Minister of Entrepreneur Development, Normah Osman (centre) mingle with the Winning Women and also present Founder ADLA Group, Datin Dr Leez Hassan during International Work Life Balance Forum (IWLBF) 2018. NSTP/ROSELA ISMAIL

Wanita berkerjaya perlu seimbangkan pengurusan keluarga

Kuala Lumpur: Dia pernah dimasukkan ke dalam beg mayat selepas ‘meninggal dunia’ akibat terbabit dalam kemalangan motosikal pada 1999.

Mujur jiran sekampung kebetulan melalui kawasan kemalangan itu tergerak hati membuka zip beg berkenaan dan mendapati jari mangsa, Khu Li Huang masih bergerak.

Li Huang ketika itu berusia 14 tahun, dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan walaupun mengalami lumpuh separuh badan akibat kecederaan saraf tunjang.

LI Huang lumpuh separuh badan kesan kecederaan saraf tunjang

“Saya tidak pernah mengalah dalam hidup dan menerima hakikat tidak lagi boleh berlari atau berjalan seperti dulu.

“Saya umpama gajah, tidak cantik tetapi kuat, pada masa sama pemalu seperti zirafah.

“Sokongan ibu mendorong kejayaan saya menggenggam Sarjana Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia pada tahun lalu. Kini terus meningkatkan kemahiran mempelajari program komputer, khas untuk golongan orang kurang upaya,” katanya.

Pencapaian wanita

Li Huang berkata demikian selepas menerima anugerah Kemenangan Wanita pada Forum Keseimbangan Kehidupan-Kerja Antarabangsa 2018, baru-baru ini.

Forum berkenaan dianjurkan Penasihat, Pembangunan, Pembelajaran dan Pencapaian (ADLA) yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Normah Osman.

Yang turut hadir, Pengasas Kumpulan ADLA, Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan.

Selain Li Huang, 29, wanita lain yang berjaya dalam pelbagai bidang turut menerima anugerah berkenaan. Antaranya, Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin dan Timbalan Presiden Kanan Hong Leong Investment Bank Berhad, Datuk Zunaidah Idris.

Buku Winning Women Coffee Table yang dilancarkan pada majlis berkenaan meraikan liku dan pencapaian wanita, merangkumi keluarga dan perhubungan, perniagaan dan kerjaya, kesejahteraan, kewangan serta pengalaman spiritual.

Hasil jualan disalurkan kepada kempen Spread Love yang menumpukan kepada pendidikan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Sementara itu, Hazimah, 56, berkata wanita perlu tahu apa yang diinginkan dan melakukan sebaiknya selain berani mencabar diri untuk berjaya.

“Kira-kira 27 tahun lalu ketika mula mengeluarkan minyak enjin, saya memberanikan diri keluar negara seperti Sri Lanka yang sedang berdepan konflik termasuk pengebom berani mati, demi untuk memperluaskan perniagaan.

“Saya berjumpa wakil kerajaan di sana mengemukakan kertas cadangan dan sembilan tahun lalu, ke Mozambique untuk menjadi pembekal minyak pelincir yang akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki perlu menyokong wanita yang menceburi bidang ini kerana ramai yang membabitkan diri dalam kerjaya yang mensasarkan wanita sebagai pelanggan seperti rekaan fesyen dan masakan.

Bijak imbangi hidup

Bagi Zunaidah, 57, menggalakkan wanita perlu bijak mengimbangi hidup dan kerjaya untuk berjaya dalam kedua-duanya. Pastikan mereka tidak dikawal kerjaya tetapi sebaliknya.

“Mereka yang memperuntukkan masa untuk diri sendiri didapati lebih produktif dan mempunyai hubungan baik dengan orang lain,” katanya.

Walau sesibuk manapun bekerja, wanita wajar mempunyai masa untuk diri sendiri dan keluarga.

“Bagi mengimbangi hidup dan kerjaya, wanita sebagai pemimpin perlu memperkasakan kakitangan dengan memberi kepercayaan untuk menguruskan hal ehwal syarikat,” katanya.

41 dibaca
Berita Harian X