Sabtu, 27 Oktober 2018 | 11:19am
ANTARA sayur-sayuran kampung yang boleh didapati di Tamu Donggongon, Penampang. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Sayuran hutan jana pendapatan di Tamu Donggongon

PENAMPANG: Rebung manis, konsoi, lemiding dan kulat kodop antara sayur-sayuran kampung yang menjadi pilihan pengunjung di Tamu Donggongon, di sini sekali gus memberikan punca rezeki kepada peniaga wanita di daerah berkenaan.

Kebanyakan sayur-sayuran itu dipetik di kawasan hutan sekitar Penampang, manakala sebahagiannya dibawa dari daerah berhampiran seperti Tambunan, Papar dan Tuaran serta dijual dengan murah iaitu serendah RM2 seikat.

Peniaga, Lilly Boliniu, berkata kebanyakan sayur dijual di tamu itu hasil usahanya sendiri yang dicari di kawasan hutan di Tambunan, walaupun usianya sudah mencecah 71 tahun.

Katanya, setiap Isnin beliau masuk ke hutan berhampiran mencari sayur-sayuran ini dan pada petang Rabu, semuanya dibawa ke tamu untuk dijual.

“Kebanyakan sayur yang saya jual sukar ditemui sekarang kerana hanya tumbuh meliar dan sering menjadi pilihan pengunjung kerana ia sedap dimasak sup atau ditumis begitu sahaja,” katanya ditemui di Tamu Donggongon, di sini, baru-baru ini.


TINA Lobinin menunjukkan kulat hutan atau kodop dan rebung yang dijualnya di Tamu Donggongon, Penampang. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Tamu Donggongon dibuka setiap minggu bermula petang Rabu sehingga Jumaat adalah pasar hari di mana produk pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan haiwan ternakan atau makanan eksotik seperti kura-kura, belut, ikan sungai dari Penampang dan sekitarnya dikumpul serta dijual kepada pengunjung.

Permintaan tinggi

Lilly yang berniaga di tamu itu sejak tiga tahun lalu memilih menjual sayur kampung kerana mendapati permintaan semakin tinggi dalam kalangan penduduk bandar.

“Di Penampang susah jumpa sayur-sayuran kampung dan sejak tidak bekerja, saya selalu keluar ke hutan mencari sayur-sayuran ini sebelum dibawa ke tamu untuk dijual.

“Sayur-sayur ini memang original dari Tambunan dan saya bawa khas untuk orang Penampang dan sekitarnya (Kota Kinabalu dan Putatan). Persekitaran yang sejuk di Tambunan menyebabkan ia banyak tumbuh meliar serta mudah didapati di kawasan hutan,” katanya.

Beliau tidak kisah dalam usia meniti tua masih lagi gigih dan sihat memasuki hutan untuk mencari sayur-sayuran itu yang dianggap kerja yang menyeronokkan terutama apabila ramai yang membelinya.

Jadi tumpuan warga Kota Kinabalu

Seorang lagi peniaga, Tina Lobinin, 46, berkata sekurang-kurangnya enam jenis sayuran kampung dibawa dari Papar untuk dijual di tamu itu.


PENIAGA sayur-sayuran di Tamu Donggongon, Penampang, Lilly Boliniu. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

“Kebanyakan sayur-sayuran ini hanya ditemui di hutan dan tumbuh mengikut musim seperti rebung manis yang hanya boleh ditemui setahun sekali mengikut musimnya.

“Selebihnya, sayur paku pakis, batang keladi, terung pipit, pucuk kayu ubi, kulat kodop yang tumbuh meliar di batang pokok getah dan giuk butod (ulat sagu) antara yang saya cari sendiri sebelum dijual di tamu ini," katanya.

Beliau mengakui lebih selesa menjual di tamu itu walaupun datang jauh dari Papar kerana tempat itu sering menjadi tumpuan pengunjung khususnya warga Kota Kinabalu.

“Seawal jam 3.30 pagi saya dan suami bertolak dari Papar sebelum sampai di tamu ini kira-kira jam 5.30 pagi untuk menyusun sayur-sayuran untuk dijual.

“Saya suka berniaga di tamu ini kerana ramai orang dan kebanyakan pengunjung mencari sayur kampung untuk dijadikan juadah mereka sepanjang minggu,” katanya yang sudah berniaga di tamu itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Bantu suami tambah pendapatan

Tina berkata, beliau berniaga di tamu itu untuk menambah pendapatan keluarga memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pemandu van di kampung.

“Saya hanya mahu membantu suami dengan menjual sayur-sayuran yang dicari sendiri di hutan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban perbelanjaan keluarga selepas mendapat hasilnya,” katanya.

Rutin berniaga di Tamu Donggongon sudah dianggap sebati dengan hidupnya, selain dapat bertemu dan melihat pelbagai ragam pelanggan dan mendapati sayur-sayuran kampung tetapi digemari sebagai hidangan mereka.

Tamu Donggongon antara pasar tertua di Sabah juga sering menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan, malah juga pelancong asing dan Semenanjung yang ingin melihat keunikan dan pelbagai jenis barang dijual di sini.

28 dibaca
Berita Harian X