Selasa, 4 September 2018 | 11:03am
PADZILLAH (dua dari kiri) pada pelancaran koleksi terbaru telekung Siti Khadijah sempena pembukaan dua butik di pusat beli-belah di Kota Bharu, Kelantan dan Tebrau City, Johor, baru-baru ini.
KOLEKSI terbaru telekung Siti Khadijah.
Koleksi terbaru telekung Siti Khadijah di Fiesta Muslimah BH (FMBH'17) di Pusat Konvesyen Shah Alam. - Foto Rohanis Shukri
Pertunjukan fesyen Telekung Siti Khadijah yang diadakan di Taman Tun Dr Ismail. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tiga ciri unik jana keunggulan telekung SK

KUALA LUMPUR: Keunikan reka bentuk, material berkualiti tinggi dan teknik jahitan menjadikan jenama telekung Siti Khadijah (SK) terus unggul serta mampu berdaya saing sehingga ke peringkat global.

Telekung SK, kini berkembang pesat sehingga berjaya memecahkan tembok pasaran di Indonesia yang terkenal dengan lambakan telekung pelbagai variasi, selain di United Kingdom (UK) dan Jepun.

Pemilik dan Pengasas Butik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzillah Enda Sulaiman, berkata sepanjang sembilan tahun penubuhannya, SK sudah terpahat di hati penggemar fesyen telekung yang sentiasa menanti-nantikan kemunculan koleksi terbaharunya.

Justeru, bulan depan SK akan mengeluarkan koleksi baharunya dengan menyuntik elemen songket dan kain broket pada bahagian bawah telekung, selain meningkatkan meningkatkan kualiti teknologi material dalam pembuatannya.

Pada masa sama, ketika ini pihaknya sedang membuat persediaan membuat ‘come back’ dengan mengeluarkan koleksi telekung original sempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan SK, di KLCC, pada April tahun depan.

“Kita akan membuat ‘come back’ dengan mengeluarkan semula telekung original edisi terhad sebagai mengimbas kembali koleksi pertama itu yang dibuat pada, 2009.

“Bagi penggemar telekung SK, mereka boleh dapatkan koleksi ini yang masih mendapat permintaan daripada pelanggan.

“Sebelum ini, SK mengeluarkan pelbagai koleksi telekung seperti Harmoni yang turut mendapat permintaan sangat baik di Indonesia, di samping memperkenalkan pelbagai koleksi lain,” katanya.

Padzilah berkata, untuk kelainan pihaknya turut mengeluarkan kira-kira 1,500 pasang telekung koleksi terhad hasil kerjasama pertama dengan jenama antarabangsa, Swarovski sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Telekung rona teal burgundy bertatahkan Swarovaski berbentuk bunga di bahagian depan telekung berharga RM399 itu habis dijual dalam tempoh dua minggu sahaja.

Koleksi ini sebagai percubaan untuk melihat pasarannya dan ternyata diterima masyarakat, lantas pihaknya akan mengeluarkan lagi produk sama dengan menambah nilai termasuk menggunakan kain berkualiti dan meletakkan lebih banyak batu Swarovski untuk rekaan pada kelopak bunga dan ranting.

“Kami pernah mengeluarkan 1,000 pasang telekung bercorak batik tulisan tangan dari material sutera yang dijual pada harga RM599, sempena pembukaan butik SK di Alamanda, selain yang telekung premium berharga RM1,599 dijual di I-Setan, KLCC.

"Keunikan menggunakan variasi koleksi kami menggunakan fabrik cotton-feel polyester yang selesa dipakai, tidak jarang, tidak tebal dan kalis panas ketika bersolat," katanya.

"Sebenarnya penggunaan adalah daripada cotton feel. Rasa macam kapas. Contohnya kain kapas ada kelemahannya iaitu berkedut dan tak tahan lama, manakala polyester, tak payah gosok dan tahan lama.

"Kita menggabungkan kebaikan kapas dan polyester untuk menjadikan telekung SK lebih mantap. Contohnya, menggunakan teknologi kapas yang dikeluarkan teknologi dari Jepun, pada 2010.

Ketika ini beliau akan terus menambah baik dengan meneroka tekologi baru yang sentiasa berubah-ubah, seperti kain yang lebih sedap.

Beliau menyifatkan dalam kalangan umum masih menganaktirikan telekung sebagai keperluan penting sehingga mereka berkira-kira untuk berbelanja lebih untuk mendapatkan kualiti yang bagus.

Oleh itu, SK mahu mendidik pengguna dalam pelbagai termasuk menguji seseorang sama ada suka menunjuk-nunjuk, riak, bermegah-megah atau sebagainya.

"Kita ada roh dalam bisnes sebab itu bertahan dan sesuatu yang ingin disumbang kepada masyarakat," katanya.

Padzilah mengakui 70 peratus pelanggan Malaysia menggemari koleksi Klasik dan selebihnya Harmoni, berbanding pasaran di Indonesia memilih 100 peratus koleksi Harmoni dalam kalangan penggunanya.

Koleksi Harmoni menggunakan gabungan kain, getah biasa, renda biasa, dagu direka dengan kain mudah regang.

Ketika ini, ada 28 butik SK di seluruh negara, manakala 14 rangkaian SK di Indonesia (termasuk di Jakarta, Makasar, Medan dan Bandung).

Beliau menyasarkan tempoh tiga tahun untuk memantapkan lagi pengeluaran di Indonesia yang dilihat mempunyai 10 kali ganda pasaran berbanding di negara ini.

Berita Harian X