Rabu, 18 Julai 2018 | 7:46am
NORSHEILA Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah
PENGASUH yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak (TASKA) diwajibkan mengikuti kursus asuhan dan didikan awal kanak-kanak untuk tempoh 184 jam bagi melayakkan mereka menceburi bidang itu. - Foto hiasan

Wajib jalani kursus 184 jam

KUALA LUMPUR: Pengasuh yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak (TASKA) diwajibkan mengikuti kursus asuhan dan didikan awal kanak-kanak untuk tempoh 184 jam bagi melayakkan mereka menceburi bidang itu.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah, berkata kursus berkenaan juga merangkumi pengajaran dan pembelajaran teori serta diajar menyediakan pemakanan yang seimbang.

Katanya, kursus itu membolehkan individu terbabit dibekalkan dengan ilmu dan pengetahuan berkaitan bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang lebih profesional.

"Mereka juga mesti mempunyai minat dan pengetahuan yang luas berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

"Pengasuh perlu bersikap profesional ketika bertugas dan tidak membawa masalah peribadi ke tempat kerja yang boleh menjejaskan emosi dan tingkah laku sehingga hilang tahap kesabaran dan bertindak secara tidak rasional," katanya.

Beliau mengulas mengenai isu kes kematian seorang bayi lelaki yang berumur lima bulan ditemui mati di dalam peti sejuk beku di rumah pengasuhnya, baru-baru ini.

Isu yang menjadi tular di media sosial itu amat menyayat hati ini dan menarik perhatian masyarakat di seluruh negara.

Norsheila berkata, beliau amat bersimpati terhadap kes yang menimpa bayi itu dan menyifatkan kejadian itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Bagi saya dalam setiap kerjaya perlu ada sikap jujur, tulus dan integriti dalam menjalankan sesuatu perkara walaupun mengasuh di rumah, ini berkaitan satu jiwa yang tidak berdosa.

"Tepuk dada tanya selera, adakah pilihan kerjaya yang anda pilih adalah betul atau terpaksa kerana kita perlu mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menjaga kanak-kanak.

"Jadi saya menyarankan agar ibu bapa menghantar anak-anak mereka di TASKA berdaftar dengan pengasuh yang terlatih untuk mengelakkan kes sebegini berlaku," katanya.

Pemilihan TASKA dan tahu mengenai latar belakang pengasuh juga boleh memberi kepercayaan kepada ibu bapa yang memberi amanah menjaga anak mereka.

Untuk menyemak TASKA yang berdaftar anda boleh melayari http://www.jkm.gov.my.

233 dibaca
Berita Harian X