Sabtu, 7 Julai 2018 | 10:27am
Gambar kecil, Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Suzaily Wahab.

Kahwin muda ganggu emosi

Sebanyak 41 peratus perkahwinan pada usia kanak-kanak atau remaja bawah umur dipercayai menjadi punca trauma psikologi dan berisiko menghidap penyakit psikiatri.

Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Suzaily Wahab, berkata kajian dilakukan oleh pakar perubatan di Amerika Syarikat itu mendapati perkahwinan bawah usia menyebabkan gangguan kepada kesihatan mental.

Katanya, kesannya mereka juga boleh mendapat kesan kemurungan, keresahan melampau dan penyakit bipolar.

"Kemurungan serius yang tidak ditangani mencetuskan tindakan berisiko tinggi seperti membunuh diri atau mencederakan diri sendiri yang dilakukan pakar kesihatan dari Amerika Syarikat, Dr Yann Le Strat

"Kajian menunjukkan emosi ibu muda yang tidak stabil boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan fizikal dan emosi bayi mereka," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, memetik kajian Penolong Profesor Pakar Psikiatri Klinikal Louis Mourier Hospital, Perancis, Dr Yann Le Strat, mendapati, remaja berkahwin terlalu muda cenderung terbabit dengan aktiviti menyalahgunakan dadah, mengambil minuman keras dan merokok.

Zaman awal kanak-kanak adalah tempoh kritikal membentuk pola perkembangan fizikal, intelektual, sosial dan emosi.

"Keadaan persekitaran tidak baik ketika kanak-kanak mempengaruhi komponen itu sehingga mendatangkan kesan negatif berpanjangan sehingga dewasa.

"Selepas berkahwin, secara tidak langsung, kanak-kanak terbabit perlu menumpukan perhatiannya kepada rumah tangga yang dibina. Ini boleh menyebabkan berlakunya proses isolasi atau pemencilan kanak-kanak itu dari pergaulan sosial, tidak seperti kanak-kanak lain," katanya.

432 dibaca
Berita Harian X