Isnin, 25 Jun 2018 | 11:19am

Kreativiti anak autisme jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Sokongan ibu bapa dan keluarga antara faktor menyumbang perkembangan minda anak autimse dalam menghasilkan karya seni yang mampu menjana sumber pendapatan.

Menyedari akan kelebihan mereka, kesungguhan serta bakat yang ada dalam kalangan anak istimewa ini perlu digilap bagi membolehkan mereka menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan, lebih mengagumkan mampu dipasarkan hingga ke pasaran global.

Usaha itu terbukti apabila dua wanita masing-masing mempunyai anak autisme bergabung tenaga mengeluarkan tudung eksklusif pelbagai corak hasil kreativiti lukisan anak mereka.

Menyaksikan akan keunikan lukisan itu, mendorong pakar bius Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azlina Masdar dan seorang suri rumah, N Rani mencetak tudung dan selendang bagi tujuan komersial.

Hasil seni yang dijual dalam talian sejak April lalu, mendapat sambutan menggalakkan termasuk memasuki pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei, Ireland, Kanada, Jepun, Korea dan Thailand.

Rani berkata, idea memasarkan tudung muncul selepas melihat seorang wanita menggayakan corak lukisan pada tudung berkenaan.

"Anak saya, Thasraveen Chandra Segaran, 17, menghidap sindrom asperger (subjenis autisme), kreatif menghasilkan lukisan pelbagai motif.

"Saya berbincang dengan Dr Azlina, juga mempunyai anak autimse, Amira Daniea Saiful Amri, 13, kami berganding bahu mencetak koleksi lukisan pada tudung.

"Pada mulanya kami buat projek ini hanya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanak-kanak autisme, sempena sambutan Bulan Austime, April lalu, tetapi tidak menyangka lukisan pada tudung mendapat sambutan ramai," katanya kepada BH.

Lukisan pada tudung jadi tular

Malah, Rani berkata, beliau tidak menyangka selendang satin lukisan abstrak dihasilkan anaknya menjadi tular di laman sosial. Lukisan bertemakan laut biru mendapat sambutan membanggakan.

"Taburan batu berkilau dan swarovski, pada tudung daripada fabrik sifon kelihatan mewah menghasilkan rekaan yang eksklusif. Setakat ini, lebih 500 tudung sudah dijual dan saya masih terima tempahan hingga hari ini.

"Thasraveen tidak banyak koleksi lukisan kerana dia hanya buat mengikut mood dan tidak suka hasil lakarannya dijual," katanya.

Semua tudung dan selendang berkenaan dijual dalam talian pada harga antara RM89 hingga RM200, RM10 daripada hasil jualan disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

60 himpunan lukisan

Sementara itu, Dr Azlina berkata, Amira Daniea gemar melukis sejak kecil dan sehingga kini sudah menghasilkan 60 himpunan lukisan bermotifkan bunga dan kota terkemuka di seluruh negara.

Antaranya lukisan Menara Eiffel, jambatan di Dublin, bandar Tokyo dan Masjid Biru di Istanbul.

"Lukisan bunga teluki dan Masjid Biru paling diminati pembeli sehingga kini yang menggunakan warna dasar seperti hijau, krim, ungu dan biru.

"Tujuan kami bukan hendak meraih keuntungan semata-mata mencungkil bakat anak autisme yang berpotensi untuk diketengahkan," katanya.

Beliau berkata, anaknya mendapat bimbingan melukis daripada guru lukisan khas selepas menyedari Amira Daniea berbakat melukis ketika berusia empat tahun. Ketika awal melukis anaknya gemar menghasilkan lakaran watak kartun siri animasi Jepun.

Ibu kepada tiga anak itu sentiasa memberikan galakan dan kebebasan kepada anaknya untuk menghasilkan lukisan yang digemari.

Setakat ini, Amira Daniea boleh melukis di atas kanvas berukuran kertas A2 dan banyak menghabiskan masanya melukis di dalam bilik.

"Mengikut guru kelas, Amira Daniea memerlukan masa untuk melukis di atas kanvas yang lebih besar atau melukis di luar seperti pelukis lain.

"Saya hanya ingin melihat bakat anak autisme dihargai dan digilap kerana mereka mempunyai banyak keistimewaan," katanya.

(Dari kiri) Daniea, Dr Azlina, Rani dan Thasraveen menunjukkan tudung yang dihasilkan.
Berita Harian X