Rabu, 6 Jun 2018 | 10:41am
WANITA sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan WAO menerima 2,078 panggilan pada tahun lalu. - Foto Hiasan
PEGAWAI Bantuan Kecemasan WAO, Amnani Abdul Kadir (kanan) dan Heang Lee berbincang mengenai masalah keganasan rumah tangga.

Talian WAO bantu mangsa kongsi masalah

PETALING JAYA: Sebanyak 612 aduan berkaitan kes keganasan rumah tangga dan isu lain diterima di talian hotline dikendalikan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, 169 aduan keganasan rumah tangga dicatatkan pada Januari, manakala Februari (127), Mac (205), April (193) dan Mei (136) kes menerusi talian hotline 03-79563488.

Pegawai Komunikasinya, Tan Heang Lee, berkata kes keganasan rumah tangga adalah masalah yang paling tinggi diterima bertujuan berkongsi masalah berkaitannya.

Katanya, mengikut rekod 2,078 panggilan diterima di talian sama sepanjang tahun lalu berbanding hanya 1,460 panggilan, pada tahun sebelumnya.

"Berdasarkan statistik itu memperlihatkan peningkatan yang ketara dalam kalangan mangsa yang mahu berkongsi isu keganasan.

"Selain talian hotline, mangsa keganasan rumah tangga juga meninggalkan khidmat pesanan ringkas di WhatsApp menerusi talian (018-9888058).

"Aduan menerusi WhatsApp pula merekodkan 1,698 pengadu, tahun lalu berbanding hanya 699 orang, pada 2016.

"Kita mempunyai pelbagai program membantu mereka dan memberi perlindungan sementara, selain memanjangkan kes terbabit kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Program krisis dan sokongan selepas krisis itu diberikan penjenamaan semula daripada program kaunselor sukarelawan, sekali gus memperluaskan lagi perkhidmatan untuk mangsa keganasan rumah tangga," katanya.

Penyedia perkhidmatan krisis

Tan berkata, kedudukan WAO sebagai penyedia perkhidmatan krisis, membantu menyelamatkan mangsa dengan memberikan tempat perlindungan sementara, kaunseling, merujuk kepada pihak berkuasa seterusnya membolehkan menjalankan advokasi berdasarkan bukti.

"Justeru, pembabitan bersama mangsa membantu kita memantau keberkesanan pelaksanaan undang-undang berkenaan keganasan rumah tangga, selain memperoleh statistik dari masa ke semasa," katanya kepada BH di pejabatnya, baru-baru ini.

Katanya, penekanan terhadap aspek ini relevan bagi mengukur tahap kecenderungan tahap keganasan, termasuk menumpukan perhatian mengenai analisis aliran kitaran keganasan berulangan oleh pelaku.

"Justeru, advokasi ini penting untuk menambah baik polisi pada peringkat kebangsaan berhubung pindaan undang-undang ke arah kesaksamaan gender dan penguatkuasaan undang-undang stalking atau mengendap serta banyak lagi.

"Sepanjang tiga tahun ini, WAO sudah melaksanakan program kesedaran, ceramah, pameran maklumat bergerak yang berjaya mencapai kira-kira 3,000 wanita, selain melatih 252 pegawai baris hadapan kerajaan dan program berterusan lain," katanya.

Dikasari, didiskriminasi

Tahun lalu sahaja, 132 wanita menerima sokongan krisis daripada sukarelawan terlatih, berbanding 106 tahun sebelumnya.

Heang Lee berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan 195 kes keganasan wanita bagi tempoh setahun dengan purata tahunan 977 kes berteraskan data yang dikumpulkan antara Jun hingga Disember tahun lalu.

"Justeru, kita berharap lebih ramai wanita tampil menghubungi WAO, terutama berkenaan penderaan, dikasari, didiskriminasi dari segi pekerjaan, kehamilan atau sebagainya, sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

"Bagaimanapun, ada mangsa lebih selesa menghantar pesanan atau mesej bertulis berbanding panggilan terus ke talian hotline yang mempunyai had masa tertentu yang diaktifkan 24 jam," katanya.

Beliau berkata, ketika ini 63 wanita dengan 70 kanak-kanak ditempatkan di rumah perlindungan WAO yang di Lembah Klang, iaitu satu lokasi rahsia, selain 90 kanak-kanak lagi memperoleh manfaat menerusi program tajaan kanak-kanak, 11 kanak-kanak ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak WAO.

Info

WAO

Dibuka Isnin hingga Sabtu

Beroperasi: 9 pagi hingga 5 petang

La njutan masa

setiap Selasa, Rabu dan Jumaat antara jam 7 hingga 10 malam)

Sistem panggilan ringkas (SMS)/Whats-

App I Think I Need Aid (TINA): 018 988 8058 (24 jam)

101 dibaca
Berita Harian X