Selasa, 15 Ogos 2017 | 12:03am

Main kayu tiga punca cerai

PENGGUNAAN meluas media sosial dan penganjuran program pertemuan alumni sekolah (reunion) atau tautan kasih, menyumbang kepada tercetusnya kecurangan dalam kalangan pasangan suami isteri negara ini, hingga menyebabkan perceraian.

Selain hubungan menerusi aplikasi sosial seperti Facebook, Whatsap, Wechat dan Instagram, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati isu kecurangan turut membabitkan hubungan terlarang di pejabat, hubungan dengan teman lama yang terjalin selepas menghadiri reunion sekolah dan sebagainya.

LPPKN menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), mendapati kecurangan kini berada pada tangga kedua selepas tiada persefahaman yang menjadi punca utama perceraian dalam kalangan pasangan yang dikaji.

KPKM-5 mendapati, 56.2 peratus lelaki yang dikaji, mengakui tiada persefahaman menjadi punca perceraian, manakala 11.8 peratus lagi bercerai kerana isteri berlaku curang.

Dalam kalangan wanita pula, 20.5 peratus mengakui perceraian dialami mereka disebabkan kecurangan suami, manakala 38 peratus disebabkan tiada persefahaman.


APLIKASI sosial menyumbang pada masalah curang hingga menyebabkan perceraian.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kes perceraian membabitkan pasangan bukan Islam pada tahun lalu adalah 9,900 kes dengan tiga negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu Johor (1,841 kes), Kuala Lumpur (1,745 kes), dan Sarawak (1,169 kes). Sehingga 30 Jun tahun ini, 3,069 kes perceraian didaftarkan.

Sementara itu, bagi pasangan Islam, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan 48,077 kes perceraian sehingga Oktober 2016, manakala sebanyak 63,463 perceraian berlaku sepanjang 2015.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail, berkata berdasarkan dapatan KPKM-5 yang dijalankan setiap 10 tahun itu, pihaknya bersetuju kecurangan dalam perkahwinan, menjadi antara punca utama keretakan rumah tangga sehingga menyebabkan perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri negara ini.

Beliau tidak menolak kesan media sosial seperti Facebook, Whatsap, Wechat dan Instagram berpotensi menyumbang kepada kecurangan, jika tidak diuruskan secara bertanggungjawab.    

"LPPKN melalui Perkhidmatan Kaunseling Keluarga, berpengalaman menangani isu kecurangan membabitkan hubungan terlarang di pejabat, hubungan dengan teman lama, hubungan selepas menghadiri reunion sekolah dan sebagainya.

"Perkhidmatan kaunseling oleh kumpulan profesional yang berpengalaman dilihat mampu menangani masalah ini.


KETUA Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

"Selain itu, program intervansi yang bersesuaian di LPPKN turut membantu," katanya.

Dr Siti Norlasiah berkata, LPPKN melihat kecurangan mempunyai sifat tersendiri dengan faktor penarik dan penolak dari dalam atau luar sistem keluarga itu sendiri. 

"Kecurangan akan berlaku jika institusi keluarga tidak kukuh dan tiada sistem sokongan yang menyebabkan amat sukar menangani isu ini apabila ia berlaku," katanya.

Beliau berkata, ada faktor dalaman dan luaran dalam institusi keluarga itu sendiri yang menyumbang kepada kecurangan 

"Faktor dalaman biasanya membabitkan ketidakpuasan hati dan unsur pendam (unfinish bussines) terhadap pasangan masing-masing.

"Faktor luaran daripada keluarga turut menyumbang kepada keadaan ini, contohnya kehadiran atau gangguan orang ketiga. 

"Untuk menangani faktor dalaman atau luaran itu secara berasingan sudah kelihatan amat mencabar, apatah lagi jika kedua-dua faktor itu hadir serentak," katanya.

Berita Harian X