Selasa, 12 November 2019 | 7:38pm
RATU Cantik Malaysia 2019, Shweta Sekhon bersama pereka fesyen terkenal, Carven Ong (dua dari kanan) di Vogue Lounge, Bangsar. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Busana inspirasi pemanis mulut di pentas Miss Universe

KUALA LUMPUR: Sajian pemanis mulut tradisional dijadikan elemen dalam rekaan busana kebangsaan bakal menghangatkan pentas akhir pertandingan Miss Universe ke-68 akan berlangsung di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat (AS), 8 Disember ini.

Kostum bertemakan ‘A Peranakan Indulgence’ diilhamkan pereka fesyen terkenal, Carven Ong itu akan diperagakan oleh Ratu Cantik Malaysia 2019, Shweta Sekhon, 22.

Busana seberat 29 kilogram itu menampilkan beberapa replika sajian pemanis mulut Melayu dan Peranakan antaranya kuih onde-onde, kuih koci, talam, kuih lapis, sago dan telur merah sebagai aksesori tambahan mengelilingi pakaian itu.

RATU Cantik Malaysia 2019, Shweta Sekhon menggayakan rekaan pereka fesyen, Carven Ong. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Ong berkata, busana itu diilhamkan dari sajian pemanis mulut tempatan yang enak dan unik selain memartabatkan kekayaan seni budaya masyarakat Melayu, Cina dan Peranakan, menerusi pemilihan material songket dan batik.

“Gaun petang berkonsepkan nasi lemak pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini. Jadi saya bersedia menerima kritikan rekaan busana berkonsepkan kuih-muih tradisional. Saya percaya Shweta akan melangkah penuh yakin menggayakan busana itu nanti.

"Pada saya tidak salah mengambil sajian makanan sebagai inspirasi rekaan kerana kita harus bangga Malaysia mempunyai pelbagai sajian makanan yang enak dan unik yang harus diketengahkan di mata dunia.

"Saya memilih sajian pemanis mulut sebagai konsep rekaan kerana ia antara hidangan yang lazimnya ada di atas meja setiap kali mengadakan majlis keraian.

"Jadi meraikan Ratu Cantik Malaysia di pentas dunia, saya mengetengahkan elemen sajian pemanis mulut dalam rekaan berkenaan," katanya selepas majlis memperkenalkan dua koleksi rekaannya untuk ke pentas Miss Universe ke-68 di sini, hari ini.

Ong berkata, beliau mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan busana kebangsaan berkenaan dengan menggabungkan elemen budaya kemelayuan, Cina dan peranakan.

 

"Menyempurnakan rekaan  itu, saya mengangkat elemen budaya dan warisan tempatan menerusi penggunaan material dan fabrik.

"Saya mengutamakan fabrik songket iaitu material mewah yang sering menjadi pilihan dalam pakaian perkahwinan Melayu. Uniknya, ia diperindahkan lagi dengan sulaman manik mewah bagi menyerlahkan penampilan Shweta.

"Malah, saya turut menggunakan batik Nyonya iaitu fabrik kebanggaan wanita Peranakan yang lazimnya dijadikan sarung iaitu kain panjang dan dipakai setiap hari. Batik itu diserlahkan menerusi kepak baju yang turut diperindahkan dengan tampalan manik dan labuci serta benang keemasan dari songket," katanya.

Shweta berkata, kostum berkenaan memang berat untuk diperagakan tetapi beliau mengambilnya sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan dan menempa nama sebagai Ratu Cantik Dunia.

Shweta memperagakan gaun petang rona karamel keemasan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

"Walaupun ia agak mencabar tetapi saya perlukan sokongan semua supaya terus yakin menggayakannya dengan baik sekali gus boleh mengharumkan nama negara.

"Saya akan peragakan sebaik mungkin dan tidak akan menghampakan semua," katanya.

Beliau berkata, sebagai persediaan untuk ke AS, Shweta terus mempelajari kursus pengucapan awam dan berjalan.

Selain busana berkenaan Shweta juga bakal memperagakan sepasang gaun petang rona karamel keemasan yang diinspirasi dari keindahan pasir putih tepi pantai.

Berita Harian X