Khamis, 11 Julai 2019 | 9:14pm
Zulfikri (depan, dua kanan) bersama 10 pereka muda MIF pada majlis memperagakan koleksi “Alike Spring Summer 2020” di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

MARA bimbing bakat kreatif pereka muda

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkasakan program pembangunan usahawan berteraskan fesyen sekali gus menggilap bakat generasi muda supaya lebih berdaya saing.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman, berkata inisiatif itu adalah kesinambungan daripada Program Pembangunan Usahawan Fesyen MARA in Fashion (MIF) yang dimulakan pada 2016.

Beliau berkata, menerusi program terbaharu iaitu Program Latihan Keusahawanan (ALIKE) yang memberi tumpuan kepada 10 pereka muda terpilih diberikan bimbingan enam bulan bermula Januari lalu.

"Sebelum ini MIF sudah menggilap bakat 40 pereka tempatan dengan mengembangkan potensi, kreativiti dan kemahiran keusahawanan bagi melonjakkan nama mereka di persada seni fesyen tempatan dan antarabangsa.

“Kumpulan pereka ini diberikan tempat membangunkan potensi selain mempelajari kemahiran pemasaran dan berguru dengan penggiat industri berkaitan, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan peragaan koleksi “Alike Spring Summer 2020” berlangsung di Istana Budaya di sini, hari ini.

Zulfikri berkata, koleksi hasil 10 peserta MIF itu dijayakan dengan kerjasama pengusaha jenama fesyen tempatan LivinLoka Malaysia.

Katanya, bagi memastikan mereka benar-benar bersedia, MARA turut menyediakan platform menerusi program inkubator bagi tempoh satu tahun.

"Ini bertujuan memberikan masa mencukupi untuk pereka menimba pengalaman menjalani latihan selama enam bulan bagi menghasilkan rekaan kreatif dan inovatif untuk diperagakan.“ katanya.

“Tugasan 10 peserta ini adalah mereka dikehendaki menyiapkan koleksi musim panas dan bunga 2020 mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, menerusi MIF pihaknya mengukuhkan strategi pembangunan usahawan fesyen melalui peningkatan rekaan, kualiti jahitan dan memperkasa tukang jahit berkemahiran tinggi bagi memenuhi kualiti jahitan bertaraf antarabangsa.

“Program ini menjadi peneraju dalam membangunkan bakat baharu, menggilap potensi dan membentuk generasi pelapis pereka fesyen tempatan.

“Jadi kita akan terus mempergiatkan usaha menarik minat pereka muda terutama dalam kalangan graduan selain melengkapkan mereka dengan kemahiran keusahawanan selain sokongan menyeluruh.

"Pada masa sama MARA menyediakan kemudahan pembiayaan bagi mereka membina jenama sendiri di samping membimbing peserta sebagai pelapis dengan membuka peluang mereka meneroka pasaran industri fesyen antarabangsa,” katanya.

Katanya, MIF yang dimulakan pada 2016 dan akan dijadikan acara tahun dalam melahirkan lebih ramai usahawan industri fesyen.

"Hasil daripada MIF 2016, beberapa peserta berpeluang meluaskan pasaran jenama masing-masing antaranya di pusat beli belah di Sogo, Isetan, Haute Elan, London dan Fashion Valet.

“Peluang ini dijadikan batu loncatan bagi membina jenama rekaan fesyen Mara bagi memenuhi komuniti fesyen luar negara terutama untuk pasaran Eropah,” katanya.

229 dibaca
Berita Harian X