Ahad, 5 Mei 2019 | 12:29pm
HANIZAN bersama anak Sindrom Down bergambar selepas majlis Fesyen Vaganza Amal ‘19 pada ulang tahun ke-18 PSDM, di Kuala Lumpur.

Kanak-kanak Sindrom Down peraga fesyen raya

KUALA LUMPUR: Tampak comel dan bersahaja apabila 43 kanak-kanak Sindrom Down diberikan peluang memperagakan 70 koleksi pereka, Anas Abdullah pada acara Fesyen Vaganza Amal ‘19, baru-baru ini.

Biarpun hanya berlatih beberapa kali, tugasan itu disempurnakan dengan baik, malah gandingan peragaan bersama selebriti dilihat begitu serasi menjadikan acara berkenaan gamat dengan tepukan daripada tetamu.

Pada majlis sempena ulang tahun ke-18 Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), 43 orang termasuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 42 tahun yang dikategorikan sebagai Sindrom Down dan bersama-sama 30 selebriti yakin di pentas peragaan.

Anas berkata, golongan Sindrom Down harus diberikan hak untuk menikmati kehidupan sama tanpa dipinggirkan hanya kerana mereka anak istimewa berkeperluan khas.


AKSI anak Sindrom Down bersama selebriti memperagakan koleksi pada majlis Fesyen Vaganza Amal ‘19.

Katanya, beliau terpanggil bekerjasama dengan PSDM dengan menampilkan koleksi pakaian untuk kanak-kanak dan orang dewasa supaya mereka lebih gembira serta bersemangat.

“Anak bongsu saya adalah penghidap kecelaruan kromosom ini. Justeru, proses membesarkannya yang kini berusia tujuh tahun dengan sempurna.

“Menerusi projek Fesyen Vaganza, saya menghasilkan semua 70 koleksi busana sesuai digayakan sempena Aidilfitri, kasual dan majlis tertentu .

“Saya mengetengahkan rekaan terkini, anggun kerana mahu melihat anak istimewa bergaya dan mempunyai kedudukan teristimewa dalam kelompok masyarakat,” katanya sempena majlis Fesyen Vaganza Amal ‘19, pada ulang tahun ke-18 PSDM, baru-baru ini.

Acara itu hasil idea Presiden PSDM, Hanizan Hussin.

Beliau berkata, acara ini bukan kerana disebabkan beliau mempunyai anak Sindrom Down tetapi rasa tanggungjawab sebagai pereka kerana di Barat golongan itu diiktiraf, diberikan pekerjaan dan dihormati.


AKSI anak Sindrom Down bersama selebriti memperagakan koleksi pada majlis Fesyen Vaganza Amal ‘19.

“Jadi, saya percaya mereka mampu berdikari jika diberi peluang. Saya berharap pertunjukan fesyen ini menjadi acara tahunan dan mahu lebih ramai pereka lain memberi peluang kepada insan istimewa ini memperagakan busana mereka,” katanya.

Hanizan berkata, pertunjukan fesyen amal itu adalah sebahagian daripada cara persatuan ini mengumpul dana untuk dimanfaatkan bagi membiayai perbelanjaan anak istimewa.

“Kira-kira 700 tetamu memeriahkan majlis minuman petang ini dengan memberikan sokongan menerusi penajaan meja atau menyaksikan pertunjukan fesyen yang julung kali diadakan.

“Menariknya, anak yang mengambil bahagian ini begitu mudah mendengar arahan memudahkan lagi acara pertunjukan fesyen, sekali gus memberikan pendedahan supaya berdisiplin, berkeyakinan dan mampu menuruti arahan,” katanya.

Hanizan berkata, dana itu bertujuan membiayai kos pembinaan kemudahan baharu iaitu kemudahan bengkel terlindung dan tempat tinggal.

Ketika ini mereka mempunyai RM200,000 dana terkumpul termasuk diperoleh daripada konsep amal, pada 2017.

“Kita merancang membina kemudahan rumah perlindungan dengan kos RM500,000 sebagai pusat jagaan tinggal sendiri kerana semakin ramai anak tamat belajar mereka ini perlu dilatih supaya mampu berdikari.

“Jadi kita mahu persatuan memiliki bangunan kabin yang boleh dipindahkan ke mana sahaja dan mahu menyediakan kemudahan itu untuk meningkatkan kualiti kehidupan anak Sindrom Down,” katanya.

Acara itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pertunjukan fesyen pertama menggabungkan insan Sindrom Down dengan selebriti.

142 dibaca
Berita Harian X