Rabu, 1 Mei 2019 | 10:00am
PENJUALAN baju kurung di Kompleks PKNS. - Foto Roslin Mat Tahirs
PENJUALAN baju kurung di Kompleks PKNS. - Foto Roslin Mat Tahirs
PENJUALAN baju kurung di Kompleks PKNS. - Foto Roslin Mat Tahirs

Baju kurung import bukan pesaing pereka tempatan

KUALA LUMPUR: Fenomena lambakan baju kurung diimport kini memonopoli pasaran tempatan tidak menjejaskan industri fesyen tempatan sebaliknya mampu merancakkan perniagaan busana tradisional.

Kebanyakan peniaga dan pengusaha butik memborong koleksi baju kurung tradisional dari luar negara seperti Vietnam, Indonesia, Bangkok dan China, yang mendapat permintaan yang menggalakkan dengan harga jauh lebih murah.

Membawa koleksi berkenaan dari luar negara lebih menjimatkan kos kerana produksi dalam kuantiti banyak atau diambil secara pukal jauh lebih murah berbanding pengeluaran tempatan.

Pemborong dan peniaga serta pereka fesyen tempatan memanfaatkan kelebihan itu kerana mereka pakar memilih fabrik berkualiti dengan rekaan lebih segar sekali gus menepati pilihan wanita kontemporari .

Sebilangan peniaga yang sudah lama berada dalam industri ini, menganggap harga yang ditawarkan kepada pelanggan pada harga RM400 hingga RM1,000, jauh lebih murah berbanding sentuhan koleksi eksklusif daripada pereka terkenal.


PENJUALAN baju kurung di Kompleks PKNS. - Foto Roslin Mat Tahirs

Mengulas perkembangan berkaitan, pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek berkata, lambakan baju kurung import tidak menjejaskan periuk nasi mereka yang sudah lama bertapak di pasaran kerana masing-masing mempunyai pelanggan setia sejak sekian lama.

Malah, beliau akui ada pereka terkenal menggunakan pendekatan sama kerana operasi pengeluaran di luar negara cepat selain kos upah jauh lebih murah.

Katanya, dengan pelbagai koleksi pakaian kurung dan baju Melayu yang banyak di pasaran merancakkan industri pakaian di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan pelanggan.

“Bagaimanapun, ada kualiti jahitan yang ditawarkan kurang kemas kerana mereka menjahit secara pukal. Industri fesyen bersifat subjektif kerana pilihan pelanggan pelbagai, ada dalam kalangan mereka mementingkan kualiti, seni rekaan terkini dan pilihan kain terbaik untuk tempahan khas atau ‘custome-made’.

“Pelanggan seperti ini selesa mendapat sentuhan terus daripada pereka untuk hasil diharapkan walaupun terpaksa membayar lebih,” katanya.

Pandangan berbeza

Bagaimanapun, pereka fesyen Bon Zainal memberikan pandangan berbeza iaitu, setiap individu berusaha ‘mencari duit’ dengan mengimport pakaian dari Thailand dan Vietnam, bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan lumayan.

Namun, katanya tiada siapa boleh menyekat usaha mereka kerana keadaan itu bergantung kepada kreativiti setiap peniaga mendapatkan barangan terbaik dengan harga lebih berdaya saing.

“Saya faham situasi hari ini, membeli secara borong memang harganya jauh lebih murah tetapi janganlah kita mencemarkan tradisi dan warisan baju kurung tradisional hingga hilang identiti.


PENJUALAN baju kurung di Kompleks PKNS. - Foto Roslin Mat Tahirs

“Apabila terlampau banyak tidak dinafikan hilangnya seni klasik Melayu yang sepatutnya menjadi koleksi yang boleh dibanggakan,” katanya.

Bon berkata, contohnya rekaan peplum mendapat perhatian peminat fesyen sejak kebelakangan ini, namun keadaan itu perlu dikawal supaya busana klasik tradisional tidak terhakis ditelan zaman berikutan rekaan busana tidak diketahui identitinya.

“Walaupun hendak menampilkan kelainan kreatif, perlulah berpada-pada dan tidak berlebihan. Walau moden manapun kita, perlu kembali kepada asal iaitu kurung klasik seperti kebaya dan kurung yang sentiasa manis dipakai sepanjang zaman,” katanya.

Mengulas isu berkaitan, seorang pelanggan, Normaiza Mansor, 37, berkata tawaran harga murah baju kurung import tidak membebankan, ini mewujudkan persaingan sihat bagi menangani kos sara hidup lebih tinggi.

Beliau yang juga kakitangan awam berkata, baju kurung diimport tidak kurang menariknya malah sebahagiannya setanding jahitan tukang jahit tempatan.

Katanya, dia tidak kisah dari mana datangnya koleksi berkenaan asalkan selesa dipakai dan harga yang ditawarkan tidak membebankan.

“Bagi wanita yang setiap hari ke pejabat memakai baju kurung sudah tentu saya mencari koleksi cantik pada harga memuaskan. Malah kualitinya juga baik dan tahan lasak untuk pakaian harian ke tempat kerja.


PENIAGA baju kurung menunjukkan pelbagai fesyen baju kurung yang dijual di Kompleks PKNS. - Foto Roslin Mat Tahir

“Walaupun hanya RM50 sepasang, pelanggan perlu bijak memilih, cari yang berkualiti dan selesa dipakai. Jika kena gayanya, pakaian ini boleh dikenakan untuk menghadiri majlis keraian. Rekaan tradisional ini segar sepanjang zaman dan nampak lebih bergaya,” katanya.

Ditanya hilangnya identiti rekaan baju kurung klasik sebaik kemasukan baju kurung import dalam pasaran, Normaiza berkata, rekaan bergantung kepada pilihan individu yang sangat pelbagai.

Bekas guru, Roslina Rasadi, 49, berkata dia selesa memakai apa saja fesyen baik kurung moden mahupun tradisional, bergantung kepada majlis yang dihadiri.

Beliau juga tidak kisah mengenai baju kurung import, namun secara peribadi berpendapat, ketika memakainya individu itu sendiri dapat merasakan keselesaannya sama ada dari segi kemasan jahitan dan potongan yang selesa.

“Jika terlalu banyak koleksi diambil dari luar dan tidak menjaga identiti klasik, tidak dinafikan seni rekaan yang diwarisi sejak sekian lama akan hilang ditelan zaman.

“Ini kerana orang luar tidak memahami seni jahitan klasik dan sekiranya tidak dibendung potongan rekaan tradisional dikhuatiri terhakis. Menjadi tanggungjawab semua pihak terutama pereka tempatan mengekalkan seni warisan pakaian tradisional untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

346 dibaca
Berita Harian X