Isnin, 31 Disember 2018 | 12:13pm
Safirol Azlie memberi nasihat dan membantu pelanggan membuat pilihan mengenai barangan hendak dibeli pelanggan. - Foto Saifullizan Tamadi

Perunding imej janjikan perkhidmatan penampilan penuh yakin

KUALA LUMPUR: Tugas sebagai perunding imej memerlukan ketelitian dalam memilih barangan mengikut keperluan pelanggan sesuai penampilan dan majlis yang akan dihadiri.

Tugasan juga memerlukan seseorang itu peka perkembangan fesyen, selain memahami konsep rekaan dengan meneliti kesesuaian rekaan, material, tubuh serta karakter seseorang.

Ketua Pembeli Peribadi dan Perunding Imej Rabinsons Kuala Lumpur, Safirol Azlie Md Saad, berkata ramai beranggapan tugas perunding imej hanya memberikan khidmat luaran.

Katanya, tidak kira umur, latar belakang, bidang pekerjaan dan gaya hidup mahupun industri yang diceburi, penjagaan imej penting kerana membantu meningkatkan kredibiliti dan penampilan positif individu.

Beliau berkata, kemahiran mengurus diperlukan setiap individu kerana imej melambangkan keperibadian terutama bagi mereka yang berkerjaya profesional.

“Seiring perkembangan industri fesyen ramai wanita berminat terhadap penampilan diri,” katanya.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri fesyen, Safirol Azlie berkata, banyak perkara diambil kira dan paling penting perunding imej perlu bersikap terbuka mengikut keperluan semasa.

“Setiap perunding imej mempunyai keselesaan dan cita rasa sendiri menjadikan sentuhan mereka unik namun masih praktikal dipadankan kepada setiap pelanggan.

“Namun, mereka perlu bersikap terbuka dengan sentiasa menerima perubahan fesyen sesuai permintaan pelanggan yang pelbagai,” katanya.

Secara peribadi Safirol Azlie berkata, beliau selesa berjumpa pelanggan terlebih dahulu sebelum meneruskan sesi rundingan.

“Secara asasnya, saya perlu mengenali siapa pelanggan dan lazimnya menerusi perbualan, karakter diri mereka dapat dikenal

pasti. Kemudian kongsi mengenai tujuan persalinan yang dipilih.

“Kemudian saya mencari kesesuaian lengkap dengan pilihan kasut dan aksesori mengikut bentuk badan, karakter dan majlis yang bakal dihadiri,” katanya.

Safirol Azlie berkata, secara purata beliau perlu mengambil masa sehingga 45 minit untuk setiap sesi rundingan, namun bergantung pada keadaan dan permintaan pelanggan.

“Cabaran menjadi perunding di pusat membeli-belah memberi peluang mengenali puluhan jenama selain mengenal pasti koleksi ditawarkan. Selain itu, perlu peka perkembangan fesyen setiap jenama yang dibawa masuk untuk dikongsikan bersama pelanggan,” katanya.

Selain itu beliau juga bertindak sebagai pembeli peribadi yang mana peranan diberikan lebih pelbagai termasuk pemilihan produk kecantikan dan barangan hiasan dalaman kediaman.

Sebagai pembeli peribadi, beliau berperanan membantu pelanggan mencari kesesuaian produk kecantikan dan hiasan dalaman rumah.

Di pusat membeli belah ini, katanya dia tidak hanya peruntukkan kepada fesyen bahkan membantu pelanggan memilih produk solekan.

“Ada masanya kami juga perlu berikan pendapat mengenai pesanan hiasan rumah mengikut kesesuaian majlis bakal mereka anjurkan,” katanya.

Tidak dinafikan, Safirol Azlie berkata, masyarakat tempatan masih janggal untuk mendapatkan perkhidmatan daripada perunding imej mahupun pembeli peribadi kerana beranggapan kosnya mahal.

“Sebenarnya banyak pusat beli belah mula tawarkan perkhidmatan ini secara percuma. Pun begitu, buat individu yang mahu mengenali keperluan diri, baik dapatkan rundingan daripada pakar imej kerana pendekatan ini meningkatkan keyakinan diri,” katanya.

Sepanjang pengalamannya beliau berkata, antara kepuasan dikecapi adalah ilmu imej membantu pelanggan menjadi anggun dengan penampilan lebih yakin.

“Penampilan individu memberi impak kepada karier dan kehidupan peribadi kerana apa ditonjolkan pada dunia mencerminkan diri. Penampilan memberi kesan kepada karier termasuk meningkatkan kepercayaan daripada individu lain,” katanya.

153 dibaca
Berita Harian X