Sabtu, 29 Disember 2018 | 7:45pm
Olexander (enam dari kiri) dan Oksana bersama himpunan busana sulaman tradisional vyshyvanka pada pertunjukan fesyen anjuran Kedutaan Ukraine di Malaysia baru-baru ini.

Sulaman tradisional terjemahkan budaya Ukraine

KUALA LUMPUR: Sulaman tradisional Ukraine, dikenali ‘vyshyvanka’ mempunyai simbolik, identiti tersendiri bagi penduduk negara itu.

Menghimpunkan motif alam semula jadi, sulaman lazimnya dihasilkan menerusi jahitan tangan membawa pelbagai pengertian mencerminkan budaya kehidupan harian masyarakat negara itu.

Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo, berkata sulaman terbahagi kepada tiga kategori, iaitu bermotifkan bunga dan tumbuhan, haiwan serta geometri.

Katanya, sulaman pada pakaian wanita dan lelaki Ukraine melambangkan kemakmuran, selain simbol menjelaskan perbezaan budaya, landskap dan amalan masyarakat mengikut kawasan perkampungan mereka.

“Corak geometri mencerminkan budaya masyarakat di Barat, manakala selatan dan timur Ukraine memberi penekanan terhadap motif tumbuhan dan bunga,” katanya ketika menghadiri pertunjukan fesyen sulung jenama fesyen dari Ukraine, Oksana Polonets, di sini, baru-baru ini.

Pertunjukan fesyen anjuran Kedutaan Ukraine di Malaysia bertujuan memperkenalkan keunikan sulaman tradisional negara itu di Asia.

Olexander berkata, sulaman vyshyvanka pada persalinan putih diibaratkan sebagai pakaian wajib setiap lapisan masyarakat Ukraine terutama pada setiap Khamis.

Tumpu jenama berkualiti

“Setiap Mei Ukraine mempromosikan keindahan sulaman tradisional sebagai warisan budaya masyarakat untuk diketengahkan pada peringkat global. Industri fesyen di Ukraine mengalami perubahan nyata sejak beberapa tahun lalu.


Pertunjukan fesyen anjuran Kedutaan Ukraine di Malaysia bertujuan memperkenalkan keunikan sulaman tradisional negara itu di Asia.

Industri fesyen di Ukraine mengalami perubahan nyata sejak beberapa tahun lalu.

“Kami mahu tumpukan jenama berkualiti Ukraine dalam menghidupkan budaya selain mampu berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Menyentuh mengenai hubungan dua hala antara Ukraine dengan Malaysia, Olexander berkata, negara ini mempunyai budaya tersendiri dan teknik seni halus menggabungkan tema moden dan tradisional.

“Saya percaya, kita boleh saling berkongsi pengalaman bekerjasama dengan penggiat industri fesyen Malaysia,” katanya.

Sementera itu, Oksana berkata, industri fesyen Ukraine mempunyai kapasiti menghasilkan rekaan mengikut cita rasa diterima pasaran luar.

Katanya, sebagai barisan peneraju industri fesyen Ukraine sejak 15 tahun lalu beliau bangga diberi peluang menterjemahkan budaya Ukraine ke dalam hasil rekaannya.


Koleksi menggunakan sulaman tradisional Ukraine, vyshyvanka dipersembahkan sempena pertunjukan fesyen anjuran kedutaan Ukraine di Malaysia.

“Fesyen melampaui sempadan dan tidak terhad dengan masa atau jarak.

“Sebagai wanita Ukraine, kami sukakan kelainan dan keunikan diterjemahkan menerusi fesyen,” katanya.

Oksana berkata, pertunjukan fesyen disertainya buat julung kali di negara ini selepas berkunjung ke Thailand memberi pengalaman berbeza.

Katanya, pada pertunjukan fesyen itu beliau menampilkan 20 koleksi menekankan keunikan sulaman vyshyvanka pada pelbagai rekaan gaun.

Berita Harian X