Selasa, 6 November 2018 | 11:56am

Jual kebaya bantu ibu tunggal

KUALA LUMPUR: Minat mereka pakaian tradisional Melayu, khususnya kebaya dan kebarung menjadikan pereka fesyen keturunan India, G Vineeta aktif menghasilkan pelbagai koleksi, selain sebagai platform mengumpul dana membantu persatuan ibu tunggal.

Setiap 10 peratus daripada jualan menerusi koleksinya akan disumbangkan untuk persatuan ibu tunggal dan rumah kebajikan kanak-kanak di sekitar Lembah Klang, sejak tiga tahun lalu.

“Sejak tiga tahun lalu, sekurang-kurangnya dua pertunjukan fesyen dalam tempoh setahun akan disertai untuk mencapai sasaran bagi menyalurkan sumbangan kepada pelbagai persatuan ibu tunggal dan rumah kebajikan kanak-kanak di Lembah Klang.

“Selain jualan koleksi menyertai pelbagai acara minum petang, sebelum ini saya menyertai majlis berbuka puasa dan Aidilfitri berkonsepkan jualan amal bagi mendapatkan dana untuk kumpulan sasaran itu,” katanya.

Beliau berkata, antara koleksi mendapat perhatian adalah rekaan baju kebaya korporat yang menggabungkan rekaan feminin ala era Victoria menggunakan fabrik denim lembut ditempah khas dari India.


VINEETA rekaan kebaya kontemporari tetapi masih mengekalkan keindahan busana tradisional.- Foto NSTP

“Lazimnya, saya tampilkan kira-kira lima rekaan untuk setiap koleksi terkini dan secara purata semuanya mendapat perhatian pelanggan kerana kelainan ditonjolkan.

“Saya juga bantu menjual meja kepada syarikat, organisasi dan individu bagi menghadiri pertunjukan fesyen disertai,” katanya.

Beliau mula mengusahakan butik mengambil tempahan khas di Bangsar sejak tiga tahun lalu dan mula mendapat perhatian pelanggan, terutama golongan VIP.

Vineeta berkata, idea ini tercetus tiga tahun lalu apabila saya bekerjasama dengan kumpulan ibu tunggal dikenali dalam laman sosial bagi menjayakan pertunjukan fesyen.


MENGHIMPUNKAN material selesa untuk menyerlahkan identiti wanita. - Foto NSTP

“Saya juga harap dapat meluaskan pasaran label fesyen diusahakan ini agar dapat membantu lebih ramai lagi golongan memerlukan,” katanya.

Sempena pertunjukan fesyen akan datang beliau menumpukan penghasilan koleksi ikat celup menghimpunkan rekaan selendang, blaus dan kemeja lelaki.

Katanya, berbeza dengan ikat celup yang ada di pasaran semasa koleksi miliknya adalah lebih berwarna-warni dan ceria.


VINEETA menunjukkan sebahagian koleksi rekaannya. - Foto NSTP

59 dibaca
Berita Harian X