Jumaat, 26 Oktober 2018 | 9:04am
TEMA rama-rama tampil hebat. - Foto NSTP

Rekaan unik pereka tempatan di London

Kuala Lumpur: Koleksi bertemakan Colours of Rama-Rama yang menjadi taruhan jenama fesyen Dache, pada acara terkemuka Minggu Fesyen London Musim Bunga/Panas 2018, membawa industri rekaan tempatan ke persada antarabangsa.

Mengetengahkan 10 rekaan menekankan konsep moden, ringkas dan warna-warni, Dache terpilih bersama 12 jenama seluruh dunia menghiasi pementasan pertunjukan fesyen hebat dunia.

Mencabar diri dengan konsep anggun dan ringkas, pengasas Dache, Yadz Haryati Harudin dan Julia Ibrahim lari daripada kebiasaan dengan menggunakan kelebihan tema rama-rama menghiasi rekaan.

Yadz Haryati berkata, sebelum ini pereka tempatan gemar membawa rekaan berkonsepkan batik namun tidak bagi jenamanya kerana ingin tonjolkan kelainan.

“Malaysia kaya pelbagai budaya etnik yang masih tidak ditonjolkan, antaranya Cina, India, Melayu dan Kadazan. Keunikan budaya India menjadi tarikan kami.


REKAAN ringkas, santai dan bergaya. - Foto NSTP

Rama-rama simbolik karakter wanita

“Kami menjadikan rama-rama simbolik karakter wanita yang memiliki kecantikan tersendiri,” katanya pada majlis minum petang bersama media, di sini, baru-baru ini.

Yadza Haryati berkata, antara koleksi, termasuk jaket diberi potongan bergaya disamping suntikan elemen kasual sesuai untuk pelbagai majlis.

“Selain motif rama-rama dan penggunaan rona berani, potongan jaket digunakan juga pelbagai yang singkat dan labuh mengikut kesesuaian pemakai.

“Penggunaan material seperti suade, velvet dan satin tebal diimport dari China, Korea dan Hong Kong juga menambah nilai rekaan terhadap koleksi istimewa ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan rekaan menepati pilihan pencinta fesyen untuk pasaran global, jenama itu turut mendapatkan perkhidmatan juruaudit dari London untuk meneliti lakaran asas.

“Kami pastikan setiap koleksi mempunyai daya tarikan sebelum dipasarkan secara besar-besaran mengikut kesesuaian negara.

“Penyertaan ini membuka pasaran jenama apabila diminta menghasilkan koleksi bagi musim luruh/sejuk 2020. Menariknya, biar pun setiap koleksi dihasilkan eksklusif, namun Dache menumpukan harga pemasaran mampu milik,” katanya.

12 dibaca
Berita Harian X