Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:21pm
ANTARA koleksi baharu Kemeja Batik Nusant Connection.

Nusant Connection promosi tanda pagar batik untuk semua

KUALA LUMPUR: Aliran memakai baju kemeja Batik kini bukan dilihat hanya bersifat formal atau digayakan golongan lelaki tertentu atau dewasa saja. Pendek kata fesyen batik kini sudah diterima pakai tanpa batasan.

Kalau dahulu kebiasaannya, kemeja batik sering dikaitkan dengan kakitangan atau pegawai kerajaan. Namun kini batik boleh juga dijadikan kemeja kasual untuk digayakan pada bila-bila masa.

Ada yang menggayakannya dalam pelbagai acara seperti majlis makan malam, majlis kahwin, bersantai dan ke pejabat.

Persepsi generasi muda mengenai persalinan bercirikan batik kini juga sudah berubah. Kebanyakan mereka menggunakan tekstil itu untuk dijadikan kemeja kasual mengikut gaya tertentu untuk menyerlahkan penampilan.

Malah kebangkitan jenama fesyen batik khusus buat lelaki di negara kita juga mekar bagai cendawan tumbuh pada waktu pagi.


MODEL menggayakan rekaan koleksi terbaru Nusant Connection.

Tak ketinggalan ialah jenama Nusant Connection yang diterajui oleh dua lelaki yang bekerjaya sebagai jurutera bernama Mohamed Izwan Rosli, 33, dan Faiz Zainal Arif, 34 sejak dua tahun lalu.Baru-baru ini juga mereka melancarkan koleksi terbaru dengan mempamerkan lapan koleksi terbaru daripada rekaan motif moden dan juga klasik.

“Dengan pengalaman lebih dua tahun dalam industri kemeja batik, kami masih boleh dianggap terlalu baru. Maklum balas yang diterima dari pelanggan mengenai kelebihan dan kekurangan, amatlah penting untuk menjadikan kami lebih maju. Banyak kekurangan yang kami atasi untuk rekaan terbaru ini.

“Kebanyakan koleksi batik Indonesia yang berada di pasaran potongannya lebih pendek daripada baju biasa. Koleksi terbaru ini ditempah khas supaya lebih panjang serta potongan separa bulat di kiri dan kanan bahagian bawah baju sesuai jika ingin digayakan secara “tuck in” atau “tuck out”.

“Untuk koleksi terbaru juga kami mempertaruhkan pemilihan warna lembut, klasik dan juga funky. Pemilihan warna ini adalah untuk menepati tanda pagar kami #batikforall. Warna yang dipilih adalah untuk menyesuaikan pemakaian batik untuk ke semua acara formal dan tidak formal mahupun ke pejabat,’ kata Izwan yang juga melakukan kerja sambilan sebagai jurugambar dan juruvideo.

Kata Izwan lagi, untuk koleksi terbaru ini mereka merancang untuk berkolaborasi dengan artis kesayangan tanah air bagi mempromosikan pemakaian batik untuk semua golongan daripada yang tua mahupun muda.


MODEL menggayakan rekaan koleksi terbaru Nusant Connection.

“Kami melihat pemakaian batik ini semakin diterima ramai. Namun masih ada yang memandang rendah terhadap pemakaian batik. Kami berharap usaha kecil kami dapat memupuk masyarakat untuk kembali menghargai seni batik Seluruh Nusantara. Saya sendiri memang biasa berpakaian batik tanpa mengira acara atau hari.

“Saya percaya kelebihan batik sangat unik sekali gus memberikan identiti sebagai anak jati Nusantara. Batik juga dapat menyerlahkan status dan memberi keyakinan dan perasaan segak kepada pemakai berbanding baju lain seperti round neck ataupun baju kemeja yang sudah menjadi terlampau kebiasaan,” katanya.

Di Nusant Connection, Izwan bertindak dalam strategi pemasaran. Manakala Faiz pula lebih kepada perihal akaun. Mereka akrab sejak belajar di peringkat diploma lagi.

Kemeja batik Nusant Connection direka dengan potongan ‘regular fit’.

Pengeluaran lebih banyak kepada kemeja batik berlengan pendek. Manakala yang berlengan panjang tidak banyak.

Ia dijual pada harga RM95 sehingga RM109. Ia juga didatangkan pilihan saiz dari saiz S sehingga XXXXL.

Untuk lebih lanjut boleh ikuti Instagram @nusantconnection.

Berita Harian X