Jumaat, 8 Jun 2018 | 11:36am
KETUA Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Holding Sdn Bhd , Sahar Sahad menunjukan perbezaan telekung Siti KHadijah yang asli dan yang tiruan pada sidang akhbar mengenai pembokaran isu telekung tiruan Siti Khadijah Holding . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Telekung Siti Khadijah diciplak

KUALA LUMPUR: Lapan elemen tiruan dikesan oleh Siti Khadijah Holding Sdn Bhd (SKHSB) pada telekung premium jenamanya sekali gus mengelirukan pengguna yang menyangka produk dibeli adalah asli serta dijual pada harga jauh lebih murah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SKHSB, Sahar Sahad, berkata antara elemen tiruan itu membabitkan jahitan, reka letak dagu, fabrik dan beberapa ciri lain yang ditiru pembuat tiruan buatan Vietnam.

"Dengan ini kemungkinan pengguna membeli barangan tiruan yang diperoleh kira-kira 40 penjual dalam talian yang menggunakan tanda dagangan dan rekaan telekung Siti Khadijah (SK) termasuk logo dan cara pembungkusannya.

"Pihak tidak bertanggungjawab itu meniru bulat-bulat telekung SK mengelirukan pengguna yang dijual pada harga antara RM30 dan RM150, sekali gus menjejaskan hak reka cipta pengusaha tempatan.

"Malah kegiatan itu memberikan impak terhadap ekonomi dan imej kita sebagai pengeluar telekung premium," katanya pada sidang media di ibu negara, di sini, semalam.

Pada majlis itu SKHSB turut melancarkan koleksi edisi terhad Telekung Crystal Swarovski Limited Edition (CSLE) yang diilhamkan dengan kerjasama sulung bersama jenama antarabangsa Swarovski.

Sahar berkata, bagi mengelakkan kekeliruan itu, telekung premium yang asli hanya dijual di 28 butik Siti Khadijah di seluruh negara atau di laman web rasmi www.sitikhadijah.com, tiga media sosial rasmi masing-masing di Facebook, instagram dan twitter.

"Selain itu telekung jenama premium ini dijual di empat platform beli-belah dalam talian iaitu Shopee, FashionValet, Lazada dan Astro Go Shop. Oleh itu jadi jualan dalam talian lain adalah tidak sah.

"Kita menerima ribuan panggilan dan maklum balas berkenaan telekung tiruan yang ternyata jauh berbeza dari segi kualiti dan konsistensi, ini akan menjejaskan pelanggan, syarikat dan lebih 200 kakitangan yang kebanyakan terdiri daripada ibu tunggal," katanya.

Beliau berkata, SK adalah jenama berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sekali gus segala tanda dagang dan rekaan yang ditiru boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Rekaan Telekung SK Klasik dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987, sejak 7 Januari 2011. Dari awal tahun ini, tiga serbuan dilakukan bersama kementerian bertanggungjawab masing-masing di Johor, Terengganu, dan Sungai Besar, Selangor.

" Sementara itu, 18 pemfailan aktif bagi melindungi reka bentuk industri di negara ini, selain enam di Indonesia dan masing-masing empat di Singapura dan Vietnam," katanya jualan setiap telekung itu antara RM139 hingga RM287.

Berita Harian X