Rabu, 18 April 2018 | 8:11pm
Penerima anugerah 'Datuk Raja Ropiah Designer's Award', Adli Afandi bersama rekaan baju ketika Hari Ulang Tahun Peniagawati ke-38 di Dewan Anggerik, Felda D'Saji Titiwangsa. - Foto Asyraf Hamzah

Rekaan kontemporari potongan Minangkabau ke New York

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Adli Afandi, mempertaruhkan rekaan berunsurkan potongan Minangkabau dengan gabungan fabrik songket untuk dibawa ke pentas peragaan Couture Fashion Week New York (CFWNY), September depan.

Beliau yang juga pemenang pertandingan pertunjukan fesyen Datuk Raja Ropiah Designer's Award di bawah Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (PENIAGAWATI), turut menerima geran sebanyak RM26,000.

Adli yang berpengalaman selama 14 tahun dalam industri fesyen, berkata beliau melihat gabungan rekaan dua negeri iaitu Perak dan Negeri Sembilan, menghidupkan unsur tradisional untuk diperkenalkan ke pentas antarabangsa.

"Saya menggunakan sulam tekad untuk koleksi ini dan penggunaan songket sebagai fabrik memberi nilai eksklusif dan tampak mewah untuk diperagakan.

"Inspirasi ini juga diperoleh dari Puteri Perak dengan sentuhan kontemporari yang diubah suai sedikit sebanyak mencerminkan identiti rekaan saya.


Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah (dua dari kanan) bersama Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi (dua dari kiri) menyampaikan anugerah 'Datuk Raja Ropiah Designer's Award' kepada pereka fesyen, Adli Afandi (tengah) serta tajaan untuk beraksi di Couture Fashion Week New York ketika Hari Ulang Tahun Peniagawati ke-38 di Dewan Anggerik, Felda D'Saji Titiwangsa. - Foto Asyraf Hamzah

"Ini kali pertama saya akan membawa koleksi rekaan ke pentas New York. Saya teruja dan harap ia mendapat pasaran yang luas," katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun PENIAGAWATI Ke-38, di sini, hari ini.

Adli akan turut serta bersama 15 orang pereka fesyen tempatan lain untuk mempersembahkan rekaan pada CFWNY di Times Square, New York City pada 7 September depan.

Sementara itu, Presiden PENIAGAWATI, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, berkata pihaknya berhasrat memperluaskan pasaran bagi usahawan tempatan, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai produk Malaysia di Amerika Syarikat.

"Tahun lalu misi memasarkan produk buatan Malaysia termasuk fesyen, makanan dan minuman serta gaya hidup mendapat sambutan cukup positif.

"Selaras dasar kerajaan untuk menggalakkan industri kecil dan sederhana (IKS) menceburi pasaran eksport bagi memantapkan perniagaan mereka sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.


Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah (dua dari kanan) bersama Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi (dua dari kiri) menyampaikan anugerah 'Datuk Raja Ropiah Designer's Award' kepada pereka fesyen, Adli Afandi (tengah) serta tajaan untuk beraksi di Couture Fashion Week New York ketika Hari Ulang Tahun Peniagawati ke-38 di Dewan Anggerik, Felda D'Saji Titiwangsa. - Foto Asyraf Hamzah

"Misi ini juga menampilkan beberapa pereka fesyen tempatan untuk menyertai CFWNY," katanya.

Dalam majlis itu, turut diadakan penghargaan terhadap Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid yang juga bekas Presiden PENIAGAWATI.

Azlin berkata sumbangan dan sokongan Allahyarham terhadap persatuan sepanjang tiga dekad untuk membangunkan usahawan wanita adalah tidak ternilai.

"Beliau berkhidmat sepenuh jiwa raga dan kegigihan serta semangat keusahawanan yang aktif untuk membantu aktiviti PENIAGAWATI dari dulu hingga akhir hayat.

"Allahyarham adalah Iron Lady of Malaysia yang akan terpahat di dalam hati setiap ahli PENIAGAWATI," katanya.

Turut hadir, bekas Naib Presiden PENIAGAWATI, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah; Pengasas AmaxMall,

Datin Dr Nik Sarina Lugman Hashim dan Pengasas Norish Kareem Couture, Norish Kareem.

Sejak PENIAGAWATI ditubuhkan, jumlah kini melebihi 1,000 orang dari pelbagai industri.

28 dibaca
Berita Harian X