Selasa, 15 Ogos 2017 | 12:17pm
PELANCARAN KLFW RTW 2017 di pusat beli-belah Pavillion, malam tadi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NING Baizura membuat persembahan pada pelancaran KLFW RTW 2017 di pusat beli-belah Pavillion, malam tadi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KLFW RTW 2017 tarik 150 pereka

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Fashion Week Ready-To-Wear (KLFW RTW) 2017 membuka tirai dengan menjanjikan persembahan lebih hebat menerusi penyertaan 150 pereka fesyen pada acara tahunan itu yang bermula di pusat beli-belah Pavillion di sini, malam tadi.

Penganjuran KLFW RTW 2017 kali kelima yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Shamsudin, itu bakal menyaksikan rekaan terkini koleksi pakaian sedia dipakai di pentas peragaan sepanjang lima hari bermula esok.

Menariknya, tahun ini KLFW RTW 2017 berkolaborasi dengan Air Asia menerusi pencarian Air Asia Runway Ready Designer 2017 bertujuan mencungkil bakat baharu pereka fesyen.

KLFW RTW 2017 turut mengundang enam pereka jemputan dari China, India, Australia, Jepun, Filipina dan Korea Selatan mengadakan dialog bersama pereka tempatan, bertujuan menggalakkan pertumbuhan industri rekaan fesyen di negara ini.

Bagi menarik penyertaan orang ramai, Tourism Malaysia turut menyediakan trak Fashion-On-Go pakaian hari ini (OOTD).

Orang ramai boleh mengunjungi trak berkenaan dan mengambil gambar OOTD masing-masing untuk dimuat naik ke media sosial menggunakan hashtag #RURunwayReady, #Negaraku, #SayangMalaysia dan #IAMHOMEGROWN.

Berita Harian X