Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:27am

B-23 AFC sama penting Sukan SEA: Kim Swee


JURULATIH skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Kempen kelayakan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand pada 19 hingga 23 Julai ini sama penting dengan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Perkara itu disuarakan oleh jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan kejohanan itu bukan saja mampu memberi pendedahan terbaik buat pemain muda, malah sebagai persiapan mencapai sasaran meraih emas pada Sukan SEA nanti.

Justeru, dia berharap semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) dapat melakukan pertimbangan terbaik untuk melepaskan pemain mereka bagi membolehkan skuad mantap dapat dibentuk.

"Bagi saya kedua-duanya (kempen kelayakan Kejuaraan B-23 AFC dan Sukan SEA) penting untuk pasukan.

"Kita tahu aksi Kelayakan B-23 AFC ini lebih penting di mana secara tidak langsung untuk kita sediakan pasukan lebih baik sebelum ke Sukan SEA.

"Kita boleh membuat menganalisa tiga perlawanan itu termasuk kita akan diuji Thailand iaitu pasukan pilihan untuk layak ke kejohanan berkenaan dan meraih pingat emas Sukan SEA," katanya.

Kebimbangan Kim Swee ketika ini adalah keengganan pasukan negeri dan kelab untuk melepaskan pemain mereka berikutan kejohanan itu berlangsung ketika Liga M sedang berjalan.

Selain itu, Kim Swee menjelaskan betapa Malaysia mempunyai peluang yang cukup baik untuk melepasi kempen kelayakan itu dan mara ke pusingan akhir pada awal tahun depan.

Ia berikutan Malaysia hanya diundi bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia dalam Kumpulan H.

"Kita mempunyai peluang yang cukup cerah untuk layak ke pusingan akhir. Jadi kita harus fikir sama ada perlu lepaskan pemain ini mewakili negara atau bersama kelab.

"Kita harus lihat dari sudut yang lebih jauh apa yang perlu dilakukan dan bagi pihak saya, sudah tentu saya inginkan semua pemain melaporkan diri pada 5 Julai ini," katanya.

Berita Harian X