Isnin, 15 September 2014 | 11:07am

Tenis WTA: Lucic kejutkan Venus raih gelaran pertama selepas 16 tahun

QUEBEC (Kanada): Pemain tenis kelahiran Croatia, Mirjana Lucic-Baroni mengejutkan bintang Amerika Syarikat (AS), Venus Williams 6-4 6-3 untuk memenangi kejohanan Coupe Banque Nationale di Bandaraya Quebec City, hari ini.

   Ia adalah gelaran WTA pertama Lucic selepas kali terakhir memenanginya 16 tahun lalu.

   Kemenangan itu turut mencatat rekod jurang penantian paling panjang untuk kembali memenangi sesuatu kejohanan apabila kali terakhir Lucic menjuarai gelaran WTA adalah di Bol, Croatia pada 1998.

   Pemain berusia 32 tahun yang pernah mara sehingga separuh akhir di Wimbledon itu juga pernah meninggalkan jelajah WTA daripada tahun 2004-06.

   Begitupun, penampilannya baru-baru ini cukup meyakinkan terutama selepas berjaya mara ke pusingan keempat Terbuka AS sambil menewaskan pemain nombor dua dunia, Simona Halep.

   "Ia sudah begitu lama. Saya akhirnya bermain tenis yang hebat dan saya sentiasa tahu saya boleh bermain. Namun ia terasa amat panjang mengakibatkan saya terasa saya seperti kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri," kata Lucic dalam laman web WTA. - Reuters

Berita Harian X