Rabu, 27 Jun 2018 | 7:59pm

UniMAP tuan rumah Woodball Piala Dunia

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dipilih sebagai venue utama Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) kesembilan pada tahun 2020.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemilihan UniMAP itu tepat berdasarkan kemampuannya menganjurkan banyak acara di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Bahkan, melalui pemilihan itu juga mampu menyuntik semangat Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) untuk menjadi penganjur yang baik serta mengharumkan nama Malaysia pada kejohanan itu.

"UniMAP pernah diberi kepercayaan menganjurkan program berkaitan pada November 2013 apabila dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Woodball Universiti Asia yang pertama.

"Setahun selepas itu, UniMAP diberikan penghormatan untuk menjadi penganjur Kejohanan Woodball Universiti Dunia ke-4 pada Oktober 2014.

"Kedua-dua kejohanan berprestij itu berjaya dianjurkan UniMAP dengan cemerlang," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada sesi pengambaran video rasmi berjudul 'Welcome To Perlis 2020' yang diadakan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra, di sini, hari ini.

Video promosi yang mengalu-alukan peserta dan pegawai delegasi pelbagai negara itu bakal ditayangkan di Chiangmai, Thailand pada 29 Julai ini.

Ia bersempena upacara penyerahan bendera rasmi penganjuran kejohanan kepada Perlis dan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan yang akan datang.

Perlis yang mempunyai tujuh gelanggang woodball kekal sebagai negeri tunggal di negara ini yang menganjurkan pertandingan liga sepanjang tahun - melalui Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, Piala Tuanku Canselor UniMAP dan Piala Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs).

Berita Harian X