Khamis, 12 Disember 2019 | 6:29pm
HIROSHI Oka (kanan) diiringi Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh (dua dari kanan) bertemu bersama pemain ketika membuat lawatan ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Duta Jepun gembira skuad badminton negara berlatih di Ehime

KUALA LUMPUR: Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka menyambut baik keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih Ehime sebagai pusat persediaan latihan skuad badminton negara ke Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

"Badminton dimainkan secara meluas di Malaysia dan pemain Malaysia juga antara yang paling kuat di dunia. Saya gembira apabila dapat melihat ramai pemain badminton Malaysia ke Jepun untuk berlatih bagi menghadapi Olimpik.

"Saya sendiri berasal dari Ehime. Jadi wilayah itu adalah istimewa buat saya dan berharap pemain Malaysia seronok berada di sana memandangkan Ehime adalah tempat yang bagus bagi persediaan temasya. Dalam masa yang sama atlet boleh menikmati keindahan Ehime yang mempunyai kolam air panas dan juga makanan tempatan," katanya.

Oka yang mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini berkata hubungan persahabatan Jepun dan Malaysia merangkumi pelbagai sektor termasuk bidang sukan.

"Saya melihat kemudahan yang disediakan di sini (Akademi Badminton Malaysia) adalah mengagumkan selepas melihat sendiri gimnasium latihan serta dibawa melihat sejarah pemain hebat dan juga kemenangan yang diperoleh sebelum ini oleh skuad badminton Malaysia. Saya berharap hubungan persahabatan kedua-dua negara akan berterusan," katanya.

Skuad badminton negara seramai 20 orang akan bertolak ke Ehime dari 22 hingga 29 Disember ini.

Mereka yang terbabit adalah Lee Zii Jia, Cheam Jun Wei, Lim Chong King, Aidil Sholeh, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Mohd Rumsani , Low Hang Yee, Ng Eng Cheong, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Vivian Hoo, Yap Cheng Wen, Goh Soon Huat, Shevon Lai, Tan Kian Meng, Lai Pei Jing

Berita Harian X