Rabu, 11 Disember 2019 | 10:58pm
AARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik.

Aaron Chia-Wooi Yik bermula langkah kiri di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula dengan 'langkah kiri' apabila tewas dalam perlawanan sulung kumpulan B Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China, hari ini.

Gandingan emas Sukan SEA ke-30 di Filipina itu terpaksa akur dengan kelebihan beregu 'The Daddies' Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dari Indonesia apabila tumpas 19-21, 16-21.

Namun, Aaron menafikan bahawa kekalahan itu disebabkan oleh mereka masih dibelenggu keletihan.

"Perlawanan hari ini saya rasa tidaklah terlalu teruk kerana kita masih lakukan apa yang kita bincang. Hanya mata daripada set pertama dan kedua agak jauh ketinggalan baru kejar balik. Bila kejar balik, sudah agak lambat dan ditambah pula dengan banyak buat kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain gandingan Indonesia, pasangan kesembilan dunia itu diundi dalam Kumpulan B bersama-sama dua gandingan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin dan Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Sementara satu lagi pasangan Indonesia 'The Minions' Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo diundi dalam Kumpulan A bersama dengan juara bertahan Li Jun Hui-Liu Yu Chen (China), dan dua gandingan Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga bermula hambar apabila tunduk kepada pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 11-21, 14-21 dalam perlawanan pertama Kumpulan A.

-- BERNAMA

Berita Harian X