Khamis, 5 Disember 2019 | 3:20pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Soniia lalui pengalaman hitam

MANILA: Penampilan pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah di pentas Sukan SEA 2019 bertukar menjadi pengalaman hitam buat dirinya selepas cedera hamstring dan terpaksa menarik diri ketika aksi pusingan pertama di Kompleks Sukan Muntinlupa, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu yang memulakan saingan acara individu menentang Thet Htar Tzuzar dari Myanmar menang 21-18 di set pertama namun kecederaan itu bertambah serius di set kedua yang menyaksikan dia tewas 15-21 sebelum membuat keputusan menarik diri ketika ketinggalan 5-12 di set ketiga.

"Saya sudah cedera buku lali ketika perlawanan dalam acara berpasukan (menentang pemain Thailand, Ratchanok Intanon) tetapi saya tetap mahu meneruskan aksi. Namun, saya mengalami hamstring pula.

"Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat keputusan menarik diri kerana ia memberi kesan kepada pergerakan saya. Memang saya kecewa kerana pengakhirannya seperti ini namun saya perlu terima hakikat kerana banyak lagi kejohanan yang saya perlu hadapi tahun depan," katanya.

Selepas ketiadaan Goh Jin Wei yang disenaraikan kali ini, Soniia adalah sandaran terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke final.

Pada edisi 2017, Soniia memenangi pingat perak selepas tewas kepada Jin Wei dalam aksi final.

Tanpa Soniia kali ini, sandaran kini diletakkan di bahu seorang lagi pemain wanita, S Kisona untuk sekurang-kurangnya menjelmakan kilauan pingat dalam acara itu.

Bagaimanapun, Kisona mengalami detik cemas sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir apabila dia dipaksa bekerja bagi menewaskan pemain Filipina, Airah Mae Nicole Albo 18-21, 21-10, 21-15.

Dia dijangka berdepan satu lagi aksi sukar bagi merebut tempat ke separuh akhir apabila bertemu pilihan ketiga dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung.

"Saya agak sedih juga dengan situasi yang menimpa Soniia kerana sandaran ke atas dirinya. Namun, saya harapkan Kisona mampu melakukan kejutan kerana tiada apa yang mustahil," kata jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock.

Sementara itu, dua lagi wakil negara yang turut beraksi hari ini termasuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengesahkan  tempat ke suku akhir.

Tampil sebagai pilihan kedua, Zii Jia tidak berdepan masalah menewaskan pemain Singapura, Koh Jia Wei 21-17, 21-10 manakala Kian Meng-Pei Jing menundukkan pasangan Singapura, Terry Hee-Crystal Wong 21-12, 24-22.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven yang tewas kepada bintang sensasi Singapura, Loh Kean Yew 17-21, 16-21.

Berita Harian X