Rabu, 4 Disember 2019 | 6:04pm
PEmain perseorangan Malaysia, Soong Joo Ven. - NSTP/Osman Adnan

Peluang terakhir pikat BAM

 

MANILA: Saingan dalam acara individu Sukan SEA 2019 menjadi peluang terakhir buat perseorangan lelaki, Soong Joo Ven dan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi membuktikan mereka masih layak kekal dalam skuad kebangsaan.

Kedua-dua wakil negara itu tidak mempunyai pilihan selain bangkit selepas gagal mencetuskan impak apabila tewas dalam perlawanan masing-masing ketika Malaysia tunduk 1-3 kepada Indonesia dalam aksi final berpasukan di Kompleks Sukan Muntinlupa, hari ini.

Acara individu bermula esok akan menjadi medan terakhir buat Joo Ven dan Ee Yi-Yew Sin untuk memikat hati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum badan induk itu melakukan proses pembuangan hujung tahun ini.

Joo Ven, 24, berkata dia pasti akan menampilkan prestasi terbaiknya dalam acara individu bagi menghadirkan kejayaan buat Malaysia pada temasya kali ini.

“Walaupun kalah hari ini namun sedikit sebanyak prestasi saya hari ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan saya.

“Saya agak terkejut juga dengan prestasi saya dalam perlawanan ini dan diharapkan saya boleh kekalkan momentum,” kata Joo Ven yang mengheret pemain nombor lapan dunia, Anthony Sinisuka Ginting sehingga set penentuan.

Ditanya mengenai peluangnya dalam saingan individu, Joo Ven berkata: “Saya tidak mahu bercakap mengenai peluang.

“Namun, yang pasti saya dan Lee Zii Jia akan memberikan yang terbaik dan diharapkan kami berdua mampu menghasilkan sesuatu yang besar pada saingan kali ini,” katanya.

Terdahulu, langkah skuad negara bermula sumbang selepas Zii Jia tewas di tangan Jonathan Christie 9-21, 17-21 namun beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila menyamakan kedudukan selepas mengatasi Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-17, 21-13.

Joo Ven yang turun sebagai perseorangan kedua hampir melakar kejutan menyumbang mata kedua apabila memberi tentangan sengit kepada Anthony Ginting sebelum tewas 21-13, 15-21, 18-21.

Beregu kedua negara, Ee Yi-Yew Sin yang diharapkan mampu menyamakan kedudukan gagal melaksanakan misi itu apabila tewas di tangan Wahyu Nayaka-Ade Yusuf Santoso 16-21, 19-21.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Malaysia tewas di tangan Indonesia dalam aksi final berpasukan selepas mengalami nasib sama dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Berita Harian X