Isnin, 2 Disember 2019 | 9:17pm
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. - NSTP/Owee Ah Chun

Indonesia jadi halangan skuad badminton di final

 

MANILA: Skuad badminton lelaki negara akan membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Indonesia pada aksi final berpasukan di Kompleks Sukan Muntinlupa, Rabu ini.

Terdahulu, Malaysia mara ke final selepas menundukkan Singapura 3-0 manakala Indonesia yang tampil sebagai juara bertahan mengatasi Thailand 3-0 dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Pertembungan Malaysia menentang Indonesia kali ini mengulangi aksi final edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara tewas 0-3.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, tempoh rehat sehari esok akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempersiapkan pasukan menghadapi lawan itu.

“Diharapkan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) mampu mempamerkan prestasi terbaik mereka dan menyumbangkan mata kepada pasukan.

“Jika mereka menang, ia pastinya akan membina momentum buat pasukan bagi mencipta kejutan,” kata Choong Hann yang optimis peluang tetap ada buat skuad negara.

Zii Jia dijangka bertemu pemain nombor enam dunia, Jonathan Christie manakala Aaron-Wooi Yik hampir pasti menentang Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto.

Pada aksi bertemu Singapura, Zii Jia menyumbang mata pertama apabila menang ke atas Loh Kean Yew 21-18, 21-12 manakala Aaron-Wooi Yik menundukkan Terry Hee-Kean Yew 20-22, 21-13, 22-16.

Pemain perseorangan kedua, Soong Joo Ven melengkapkan kemenangan skuad negara apabila menewaskan Koh Jia Wei 14-22, 21-8, 21-16.

Berita Harian X