Selasa, 19 November 2019 | 11:59pm
Wakil-wakil penaja Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019.

MBPJ, STA anjur tenis remaja terbuka

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan Tenis Selangor (STA) akan menganjurkan Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting–Selangor 2019 pada 23 hingga 27 November 2019.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-17 itu menerima penyertaan seramai 224 pemain dari dalam dan luar negara. Selain Malaysia, pemain-pemain dari Filipina, Singapura, Vietnam, Indonesia, Uzbekistan dan Tajikistan turut menghantar penyertaan.

Kejohanan ini akan diadakan di empat lokasi membabitkan Kompleks Sukan MBPJ (Kelana Jaya), Gelanggang Tenis SS 3/14 (Kelana Jaya), Kompleks Sukan PKNS (Kelana Jaya), dan Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya.

Sebanyak empat acara akan dipertandingkan –  perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, dan beregu perempuan.

Hasil daripada kerjasama dengan Persatuan Tenis Selangor, MBPJ berjaya mencungkil ramai bakat baharu di peringkat akar umbi menerusi program pembangunan sukan tenis remaja MBPJ yang dilaksanakan sejak tahun 1990.

Kejohanan pada tahun ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Unit Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kejohanan ini juga menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,600.00 berserta pingat dan sijil penyertaan.

Ia turut dijayakan dengan penajaan daripada Genting Malaysia Berhad selaku penaja utama, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Dunlop Srixon Sports Asia Sdn Bhd.

Berita Harian X