Isnin, 11 November 2019 | 7:54pm
Gambar fail, beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil, 3 April lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Choong Hann fokus tingkatkan prestasi Aaron-Wooi Yik

 

KUALA LUMPUR: "Kalau jadi juara sekalipun, adakah ia boleh mengukuhkan prestasi mereka selepas itu."

Itu persoalan dibangkitkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann ketika ditanya mengenai kemarau kejuaraan yang masih menghantui beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pentas antarabangsa.

Bukan mahu menidakkan kepentingan untuk menjadi juara namun Choong Hann mengambil pendekatan realistik dengan menegaskan adalah lebih penting buat pasangan muda negara itu menunjukkan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan diharungi mereka.

"Peluang menjadi juara mungkin lebih tinggi jika mereka bermain dalam kejohanan bertaraf rendah tetapi ketika ini mereka bersaing dengan kelompok utama dunia dalam kejohanan berstatus lebih tinggi.

"Bukan kata juara itu tidak penting tetapi persoalannya adakah selepas menjadi juara prestasi akan bertambah kukuh dan stabil?

"Jadi, apa yang lebih penting untuk saya adalah mereka menunjukkan peningkatan prestasi. Saya nampak perkara itu ketika ini," katanya Choong Hann kepada BH Sukan.

Walaupun berjaya menumbangkan juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan ketika suku akhir Terbuka China, Jumaat lalu namun misi Aaron-Wooi Yik yang memburu gelaran sulung sejak digandingkan pada 2017 terbantut selepas tewas di tangan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun pada aksi separuh akhir, sehari kemudian.

"Saya lihat Aaron lebih proaktif ketika di dalam gelanggang manakala Wooi Yik secara fizikalnya lebih kuat. Ini peningkatan yang saya mahu lihat daripada mereka. 

"Walaupun Ahsan-Hendra kita boleh nampak dalam keadaan keletihan, namun pujian tetap wajar diberikan kepada Aaron-Wooi Yik berdasarkan prestasi yang mereka tunjukkan dan ini cukup penting untuk proses peningkatan bagi mereka," kata Choong Hann.

Pasangan ranking ke-14 dunia itu yang muncul naib juara Seluruh England, Mac lalu memiliki satu lagi peluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan mereka apabila beraksi di Terbuka Hong Kong yang bermula esok tetapi Choong Hann menegaskan ia bukan tugas mudah.

"Peluang masih rendah kerana mereka bukan beregu pilihan. Mereka perlu bekerja dua kali ganda untuk merealisasikannya, apa yang mereka tunjukkan sekarang ini masih belum cukup untuk menjadi juara lagi.

"Saya bukan mahu menidakkkan kemampuan mereka tetapi saya fikir lebih awal kita mengakui kekurangan lebih mudah untuk kita bekerja memperbaikinya," katanya.

Cabaran di Hong Kong kali ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan menentang beregu England, Marcus Ellis-Chris Langridge.

 

 

Berita Harian X