Sabtu, 9 November 2019 | 8:41pm
Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di separuh akhir Terbuka China. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Aaron-Wooi Yik kandas di Terbuka China

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk mendapat satu lagi peluang menamatkan penantian mereka merangkul gelaran pertama di pentas antarabangsa.

Pasangan muda negara itu terlepas peluang terbaik kali ini apabila terkandas di separuh akhir Terbuka China, sebentar tadi.

Selepas cemerlang menumbangkan juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan semalam, Aaron-Wooi Yik gagal mengekalkan momentum apabila tewas di tangan pilihan keempat dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 13-21, 14-21.

Sejak digandingkan pada 2017, beregu ke-14 dunia itu tidak pernah merasai nikmat bergelar juara biarpun beberapa kali mara hingga ke final termasuk pada saingan Seluruh England, Mac lalu.

Bagaimanapun, mereka mempunyai satu lagi peluang untuk menamatkan penantian itu apabila dijadual beraksi pada saingan Terbuka Hong Kong bermula Selasa ini.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie gagal menyaingi kehebatan pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong apabila tewas 16-21, 10-21 dalam aksi separuh akhir.

“Secara keseluruhan mereka menunjukkan prestasi baik sepanjang kejohanan ini. Cuma, dalam perlawanan hari ini beregu China itu terlalu hebat untuk mereka,” kata jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui kepada BH Sukan.

Soon Huat-Shevon juga akan mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Hong Kong.

Berita Harian X