Khamis, 7 November 2019 | 9:48pm
Pengurus Pasukan Kebangsaan Tenis Datuk Sallahuddin (dua dari kiri) bersama Jurulatih Suresh Menon (dua, kanan) serta Atlet Kebangsaan Tenis Christian Didier (kiri) dan Theiviya (kanan) bergambar selepas sidang media Pasukan Malaysia Sukan SEA 2019 di Lobi Majlis Sukan Negara. - Foto BERNAMA

LTAM optimis Jawairiah sempat pulih

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan tenis ke Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Sallahuddin Ahmad Kamal optimis pemain utama negara, Jawairiah Noordin dapat pulih sepenuhnya sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirainya, hujung bulan ini.

Katanya, khidmat Jawairiah penting kerana dia tonggak negara yang mampu menewaskan pemain yang berada di ranking lebih tinggi daripadanya.

Sallahuddin menjelaskan disebabkan kecederaan yang membelenggu Jawairiah, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) tidak meletakkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu berada dalam senarai sasaran pingat.

“Berdasarkan senarai akhir pemain, Jawairiah akan beraksi di Filipina. Esok dia akan berjumpa doktor dan jika dia cergas sepenuhnya, maka dia boleh bermain untuk acara perseorangan, jika tidak ia satu risiko.

“Mungkin kita boleh letakkan dia beraksi dalam acara berpasukan wanita atau berpasukan campuran, tapi apa pun kita kena dapatkan keputusan daripada pakar.

“Tenis akan bermula pada 1 Disember bermakna kita mempunyai sekurang-kurangnya dua minggu, Insya-Allah masa itu mencukupi dan saya rasa dia boleh pulih,” kata Sallahuddin ketika ditemui selepas sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Jawairiah dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian paha sewaktu beraksi dalam Kejohanan Jemputan One Belt One Road di Kunming, China ketika aksi separuh akhir menentang pasukan tuan rumah, bulan lalu.

Pada kejohanan berkenaan, Malaysia memenangi pingat perak.

Dalam perkembangan lain, Sallahuddin berkata dua pingat gangsa disasarkan LTAM di Filipina menerusi acara berpasukan campuran (Christian Didier Chin-Theiviya Selvarajoo) dan berpasukan wanita (Sara Nayar-Theiviya).

Untuk rekod, pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Malaysia memenangi satu gangsa menerusi Jawairiah-Theiviya dalam acara beregu wanita.

 

Berita Harian X