Rabu, 6 November 2019 | 11:52pm
LIN Dan membalas pukulan Chen long pada saingan Terbuka China di Fuzhou, hari ini. - Foto AFP

Harapan Lin Dan ke Olimpik Tokyo terus pudar

SHANGHAI: Harapan Lin Dan untuk merangkul emas ketiga Sukan Olimpik menerima satu lagi tamparan hebat apabila tewas di pusingan pertama di tangan rakan senegara, Chen Long pada saingan Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Pemain berusia 36 tahun itu yang dianggap sebagai pemain badminton terbaik sepanjang zaman menang set pertama 21-19.

Namun Chen Long yang juga pemenang emas Olimpik Rio 2016, bangkit untuk memenangi dua set seterusnya, 21-12, 21-12 untuk menghantar Lin Dan pulang awal.

Lin Dan yang juga juara dunia sebanyak lima kali selain juara Olimpik 2008 dan 2012, setakat ini sudah tewas sebanyak lapan kali pada pusingan pertama dalam beberapa kejohanan sepanjang tahun ini. Dia yang pernah menjadi pemian nombor satu dunia, kini menduduki tangga ke-18.

Chen Long dan seorang lagi pemain China, Shi Yuqi yang masing-masing menduduki ranking ketiga dan keempat dunia berada pada posisi terbaik untuk mewakili negara mereka pada temasya Olimpik 2020 di Tokyo dengan syarat mesti terus berada di depan Lin Dan sehingga April tahun depan.

Shi kembali beraksi selepas pulih dari kecederaan buku lali dan kecederaan berterusan sudah pasti juga akan menjejaskan peluang Lin Dan untuk mewakili negaranya ke Tokyo tahun depan.

Shi yang juga pilihan ketiga kejohanan Terbuka China menewaskan pemain Korea Selatan, Son Wang-Ho, 21-17, 21-17 untuk meneruskan kemaraan. - AFP

Berita Harian X