Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:26pm
Gambar fail, Lee Zii Jia beraksi ketika Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Zii Jia kandas di Terbuka Perancis

 

KUALA LUMPUR: Cabaran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di bumi Eropah berakhir dengan noktah kegagalan apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan disertainya.

Hasrat pemain berusia 21 tahun itu untuk mencetus kebangkitan selepas kegagalan di Terbuka Denmark minggu lalu, tidak kesampaian.

Ini selepas dia tewas di tangan bintang Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 16-21, 8-21 di pusingan pertama Terbuka Perancis di Paris, hari ini.

Di Denmark, Zii Jia turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tunduk kepada juara Olimpik 2016, Chen Long dari China.

“Daripada perlawanan tadi, memang Ginting lebih bagus berbanding saya. Dia berjaya mengawal permainan saya sejak dari awal perlawanan dan saya perlu akui dia pemain lebih berpengalaman dan lebih matang daripada saya.

“Dia beberapa kali pernah menewaskan Kento Momota (pemain nombor satu dunia) dan itu bukan sesuatu yang mudah. Jadi, sudah pasti Ginting seorang pemain yang memiliki keistimewaan.

“Saya harap saya boleh kembali bangkit selepas ini bagi menghadapi Terbuka China (5 hingga 10 November) dan Terbuka Hong Kong (12 hingga 17 November),” kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki pemain bimbingannya itu untuk menjadi pencabar kepada kelompok utama dunia.

“Antara faktor kekalahan Zii Jia hari ini adalah semangat dan keinginannya kurang sehingga menyaksikan kepantasan Ginting sering mengatasi Zii Jia sepanjang perlawanan.

“Ini juga adalah pertemuan pertama Zii Jia bertemu Ginting, jadi boleh nampak dia masih belum boleh membaca permainan lawannya itu. Kita sudah cuba untuk menukar strategi tetapi tetapi gagal,” katanya.

Berita Harian X