Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:21pm

Roy King-Jing Err, Shaqeem Eiman ke suku akhir di Kazan

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Yap Roy King-Gan Jing Err melangkah ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia selepas mengetepikan pasangan Perancis, Kenji-Lovang-Juliette Moinard 17-21, 21-14, 21-17 dalam aksi pusingan keempat di Kazan, Russia, hari ini.

Tampil sebagai pilihan keenam, sandaran utama negara itu akan bertemu pilihan ketiga dari Thailand, Ratchapol Makkasasithorn-Benyapa Aimsaard bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Sekiranya Roy King-Jing Err berjaya melakar kemenangan dalam pertemuan esok, kilauan pingat gangsa sudah pasti menjadi milik mereka sekali gus memastikan skuad remaja negara tidak pulang tangan kosong dalam saingan kali ini.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar turut menempah tempat ke suku akhir selepas menewaskan Su Li Yang dari Taiwan 13-21, 21-16, 21-14 dalam aksi pusingan kelima.

Dia akan bertemu pemain Indonesia, Yonathan Ramlie bagi saingan memburu tempat ke separuh akhir.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran negara, Muhammad Haikal Nazri-Low Yeen Yuan apabila terkandas di pusingan keempat apabila tewas kepada pilihan keempat dari China, Jiang Zhen Bang-Li Yi Jing 20-22, 21-19, 14-21.

 

 

Berita Harian X