Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:27pm
BEKAS pemain beregu lelaki kebangsaan, Koo Kien Keat.

Kien Keat minat jadi jurulatih

 

KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Koo Kien Keat tidak menolak kemungkinan menceburi bidang kejurulatihan bagi mencurahkan ilmu dimiliki bagi membantu meningkatkan pembangunan sukan badminton negara.

Katanya, pembabitan sebagai jurulatih dalam program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah mungkin menjadi permulaan untuk dia bergiat secara serius.

"Secara jujurnya, saya sudah tidak terbabit dengan badminton lebih tiga tahun. Jadi, pada awal saya ditawarkan untuk terbabit dengan program ini (Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah) saya fikir tidak banyak yang saya boleh berikan.

"Namun, selepas diberi penerangan mengenai program, saya fikir patut mencubanya. Saya akan cuba berikan yang terbaik.

"Jika bercakap untuk menjadi jurulatih sepenuh masa, bukan hari ini atau tahun depan. Namun, siapa tahu? Ini bukan mengenai tawaran tetapi mungkin selepas saya sudah kembali terbabit dengan badminton kali ini, minat itu datang kembali," kata Kien Keat yang mengumumkan persaraan pada 2016.

Ketika bergelar pemain, dia meraih pelbagai kejuaraan bersama pasangannya, Tan Boon Heong termasuklah pingat emas Sukan Asia 2006, juara Seluruh England 2007 dan muncul naib juara dunia pada 2010.

Berdasarkan pengalamannya itu, dia dipilih sebagai seorang daripada lapan legenda badminton tanah air yang akan menjadi mentor bagi program Juara Tangkis Dr Siti Hasmah bagi mencari, melatih dan mengasah bakat 96 bakal jaguh masa depan.

Dalam pada itu, Kien Keat berpendapat pengalaman dimiliki pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mampu menjadi kelebihan buat mereka dalam persaingan merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

V Shem-Wee Kiong ketika ini menghadapi saingan tiga penjuru dengan dua wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi perebutan tempat ke Tokyo.

"Sudah pasti pengalaman itu sangat penting dan membantu mereka. Lagipun sekarang kita boleh bukan hanya beregu muda yang menang kerana pasangan senior Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan sudah buktikan yang mereka pun boleh menang.

"Apa pun, persaingan yang berlaku sekarang adalah persaingan yang sihat. Jika tiada persaingan, sukar untuk kita meningkatkan prestasi," katanya.

 

 

Berita Harian X