Sabtu, 28 September 2019 | 2:55pm

Pukulan kilas Zii Jia mula tular 

KUALA LUMPUR: Rakaman video Lee Zii Jia melakukan pukulan kilas (backhand) ketika menentang Kento Momota pada aksi suku akhir Terbuka Korea, semalam kini tular di media sosial dan mencuri perhatian peminat badminton tempatan.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu membuat pukulan kilas beserta gerakan badan yang menarik sehingga tidak dapat dikembalikan lawannya yang juga pemain nombor satu dunia.

Malah, riak wajah Momota dalam rakaman video itu sudah cukup untuk membuktikan yang dia terkejut dengan pukulan dibuat Zii Jia.

Susulan pukulan itu, Zii Jia berjaya meraih mata bagi mendahului Momota 14-10 di set kedua namun dia gagal mengekalkan momentum yang menyaksikan dia tewas 15-21, 19-21 dalam perlawanan itu.

BH Sukan yang menghubungi Zii Jia bagi mendapatkan reaksinya berhubung aksi dalam perlawanan itu, berkata ia bukan dilakukan secara spontan sebaliknya dia memang berlatih untuk melakukan pukulan kilas seperti itu.

“Memang sejak kecil lagi saya sudah mula berlatih untuk buat pukulan seperti itu. Saya kerap menyaksikan pukulan kilas yang dilakukan Taufik Hidayat (legenda badminton Indonesia).

“Jadi, apabila ada peluang dalam perlawanan saya akan melakukannya,” kata pemain ranking ke-16 dunia itu.

AKSI pukulan kilas (backhand) Zii Jia ketika aksi menentang Momota di suku akhir Terbuka Korea tular di media sosial.
Berita Harian X