Isnin, 16 September 2019 | 11:49pm
Jin Wei belum pasti beraksi di Manila. - NSTP/Muhaizan Yahya

Jin Wei belum pasti beraksi di Manila

KUALA LUMPUR: Kem badminton negara mungkin kehilangan satu pingat emas di Sukan SEA 2019 Filipina selepas sandaran terbaiknya Goh Jin Wei terus dibelenggu masalah kesihatan.

Situasi itu menyebabkan dia mungkin terlepas peluang untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Justeru itu, ketua jurulatih perseorangan wanita, Tey Seu Bock, berkata dia mungkin terpaksa bersiap dengan sebarang kemungkinan termasuk menyiapkan S Kisona sebagai pengganti.

"Terus-terang Jin Wei belum pasti lagi. Mungkin ada perubahan dan saya tak berani menyatakan Jin Wei 100 peratus akan bermain untuk Sukan SEA,” kata Seu Bock.

"Jin Wei mengalami masalah kesihatan pada bahagian perutnya dan mungkin saya akan menyenaraikan Kisona atau mana-mana pemain yang menonjol dalam masa tiga bulan ini."

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, pemain berusia 19 tahun itu muncul satu-satunya penyumbang pingat emas kontinjen badminton negara menerusi acara perseorangan wanita.

Seu Bock turut menjelaskan mengapa Kisona muncul di fikirannya sebaik bercakap soal pengganti Jin Wei.

"Untuk tempoh terdekat memang saya akui sukar mencari pemain bagus dan yang paling bagus ketika ini adalah Kisona," katanya.

Jin Wei memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) selepas menewaskan rakan senegara, Sonia Cheah.

Berita Harian X