Jumaat, 6 September 2019 | 9:17pm
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Yin.

Peng Soon-Liu Ying mara separuh akhir Terbuka Taiwan

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengakui faktor usia yang semakin meningkatkan memberi cabaran buat mereka untuk mengekalkan tahap kecergasan terutama bagi bersaing dengan gandingan lebih muda.

Terdahulu, gandingan yang masing-masing berusia 31 dan 30 tahun itu dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir Terbuka Taiwan, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying mara selepas menewaskan pasangan muda Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 18-21, 21-14, 21-14 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 59 minit.

Kemenangan itu membolehkan Peng Soon-Liu Ying mara ke separuh akhir buat kali ketujuh daripada 15 kejohanan yang disertai sepanjang tahun ini.

"Saya dan Peng Soon sebenarnya tidak berada pada tahap terbaik. Berbanding lawan kami hari ini, kejohanan yang kami harungi lebih banyak dan usia kami pun semakin meningkat.

"Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami. Apa yang kami lakukan sekarang adalah cuba mencari jalan untuk terus bertahan," kata Liu Ying kepada BH Sukan.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dengan Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow dari Indonesia bagi perebutan tempat ke final, esok.

"Bukan mudah sebenarnya, untuk menentang kedua-dua pasangan itu, masing-masing ada kelebihan. Walaupun kami tidak berada pada tahap terbaik namun kami berjuang habis-habisan untuk cuba melangkah ke final," kata Liu Ying.

1178 dibaca
Berita Harian X