Rabu, 4 September 2019 | 7:46am
DANIIL Medvedev membalas pukulan Stan Wawrinka pada saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York. - Foto AFP

Medvedev congak peluang di separuh akhir

NEW YORK: Pemain tenis Russia, Daniil Medvedev mengetepikan kesakitan kakinya untuk membenam Stan Wawrinka sekali gus buat julung kali melangkah ke separuh Terbuka Amerika Syarikat (AS) manakala Roger Federer mengintai separuh akhir ke-46 Grand Slam buat dirinya.

Medvedev selaku pilihan kelima, menang 7-6 (8/6), 6-3, 3-6, 6-1 sekali gus melangkah ke separuh akhir Jumaat ini dan bakal bertemu sama ada wakil Bulgaria, Grigor Dimitrov atau Federer.

"Saya rasa pelik dengan perlawanan ini tetapi saya gembira berjaya melangkah ke separuh akhir pertama saya,” kata Medvedev.

Medvedev sebelum itu bergelut mengatasi kesakitan kaki kirinya dan hampir menarik diri pada set pertama.

"Sebelum perlawanan saya rasa sempurna. Pada set pertama saya mula rasa sakit,” kata Medvedev.

"Otot kaki saya betul-betul sakit dan saya terfikir tidak akan mampu mengharungi perlawanan itu.”

Medvedev kemudian mendapatkan rawatan dan mengambil ubat penahan sakit.

"Pada set keempat ubat penahan sakit berkesan dan saya pulih dan pergerakan tiada gangguan. Kini sudah tentu saya bersedia untuk separuh akhir,” katanya.

DANIIL Medvedev bersalaman dengan Stan Wawrinka selepas tamat perlawanan pada saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York. - Foto AFP

Medvedev, pada usia 23 tahun muncul pemain paling muda beraksi di separuh akhir Terbuka AS sejak Novak Djokovic tampil pada 2010.

Dia juga pemain Russia yang berjaya melangkah ke separuh akhir sejak kali terakhir dilakukan Mikhail Youzhny di Terbuka AS 2010.

Dalam pada itu, hasrat Federer, yang memiliki rekod 45 kali beraksi di separuh akhir berkecai apabila dikejutkan oleh Grigor Dimitrov sebentar tadi.

Bagaimanapun, Wawrinka berkata dia tidak yakin Medvedev akan menjulang trofi pada final Isnin nanti.

"Dia mampu, tapi saya tidak fikir dia akan berjaya. Saya rasa ia amat sukar untuknya,” kata Wawrinka.

"Dia kelihatan cepat letih di permulaan perlawanan tambahan pula dia perlu berdepan pemain lebih handal di separuh akhir, Roger atau Grigor, kemudian ke final.

"Tapi dia sudah membuktikan sejak beberapa minggu lalu bahawa segala-galanya boleh berlaku, sudah pasti dia akan berentap lagi dan dia hanya perlu mengharungi dua lagi perlawanan.” – AFP

Berita Harian X