Selasa, 3 September 2019 | 11:40am
PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia. NSTP/Owee Ah Chun.

Peluang Zii Jia cerah di Olimpik 2024

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei percaya peluang Lee Zii Jia untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2024 adalah lebih tinggi berbanding Tokyo 2020.

Chong Wei yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Olimpik Tokyo, berkata berdasarkan prestasi semasa, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki pemain berusia 21 tahun itu.

"Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki Zii Jia. Mental, kemahiran dan tahap kecergasan.

"Ada tempoh lebih kurang setahun sebelum Olimpik, saya harap dia boleh fokus. Sekiranya dia gagal mendapat pingat pada Olimpik kali ini (di Tokyo), saya yakin peluang dia lebih tinggi empat tahun selepas itu," kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali mahu Zii Jia yang kini memegang status sebagai perseorangan lelaki nombor satu negara menanamkan sifat sentiasa dahagakan kejayaan dalam kamus hidupnya.

Walaupun dianggap meraih keputusan yang positif pada penampilan pertama beraksi dalam Kejohanan Dunia dengan mara sehingga suku akhir baru-baru ini, namun dia diingatkan tidak mudah berpuas hati.

"Saya fikir ia adalah permulaan yang baik buat Zii Jia. Namun, jika kita lihat permainannya, ia berbeza ketika dia menentang Kenta Nishimoto di pusingan 16 terbaik dengan Kento Momota di suku akhir.

"Ini adalah kejohanan dunia pertamanya,  saya harap dia banyak belajar. Yang paling penting, dia tahu apa kelemahan yang membuatkan dia tewas kepada Momota.

"Saya percaya, jurulatih Hendrawan dan Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia) boleh membantu memperbaiki kelemahan," kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Berita Harian X