Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:09pm
Aksi Lee Zii ketika menentang Kento Momota pada Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland, semalam. - Foto AFP

Zii Jia berpotensi cabar pingat di Tokyo

KUALA LUMPUR: Kejayaan Lee Zii Jia mara ke suku akhir pada penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland memberi sinar buat kem skuad badminton kebangsaan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terdahulu, langkah pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu terhenti di suku akhir selepas tewas kepada juara bertahan dari Jepun, Kento Momota 12-21, 8-21, semalam.

Bagaimanapun, dengan berbaki setahun sebelum temasya Olimpik bermula, Zii Jia diyakini mampu meletakkan dirinya sebagai antara pencabar pingat di Tokyo nanti.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata dalam tempoh itu dia akan melakukan yang terbaik bagi membantu pemain berusia 21 tahun itu mempersiapkan diri.

Bagaimanapun, katanya, pemain ranking ke-13 dunia itu perlu terus bekerja keras kerana tahap permainannya dengan pemain kelompok utama dunia masih jauh dan itu dapat dilihat ketika dia berdepan dengan Momota.

“Tahap Zii Jia dengan Momota masih jauh ketinggalan. Jadi, memang susah untuk dia menyaingi lawannya itu, masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Zii Jia masih muda, masih banyak masa untuk dia meningkatkan permainannya. Untuk Olimpik, ada lebih kurang setahun lagi, jadi kita akan melakukan yang terbaik untuk buat persiapan,” kata Hendrawan kepada BH Sukan.

Zii Jia kini mempunyai tempoh dua minggu bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Terbuka Taiwan bermula 3 hingga 8 September ini yang menyaksikan dia akan turun sebagai juara bertahan.

Berita Harian X