Selasa, 20 Ogos 2019 | 9:50pm
BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Foto Syarafiq Abd Samad

Peng Soon-Liu Ying bergelut sebelum mara pusingan ketiga

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2019 di Basel, Switzerland, sebentar tadi.

Tampil sebagai pilihan kelima, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu menerima tentangan sengit sebelum mampu menewaskan gandingan Kanada, Joshua Hurlburt Yu-Josephine Wu 21-18, 19-21, 21-16.

Mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dengan beregu Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Peng Soon-Liu Ying antara prospek terbaik bagi menyumbangkan pingat buat Malaysia berdasarkan kedudukan ranking dan prestasi semasa kedua-dua pemain itu yang sebelum ini mara sehingga separuh akhir Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun, bulan lalu.

Berita Harian X